Lupus hutang bantu peneroka Sabah mendepani cabaran Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - Peneroka Felda di Sabah menyifatkan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka adalah tepat pada masanya sekali gus membantu peneroka mendepani situasi ekonomi mencabar akibat pandemik Covid-19.

Peneroka Felda Sahabat dekat sini, Salmah Juat berkata usaha kerajaan serta pengurusan Felda itu dapat meringankan bebanan hutang yang ditanggung dan satu peluang baik bagi peneroka menyusun semula dan mengukuhkan kewangan.

"Kita berdepan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan sumber pendapatan peneroka, dengan pengumuman ini kami rasa dihargai dan kebajikan terbela.

"Pelupusan ini memberi manfaat kepada saya sendiri dengan dijangka separuh hutang yang dipinjam dapat dikurangkan," katanya kepada Bernama.

Pada 7 Julai, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Bagi Ketua Peneroka Felda Sahabat 4 dan 5 Amit Inyok, bantuan dalam penyelesaian hutang itu dinantikan peneroka apatah lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 ketika ini apabila ramai yang terjejas pendapatan.

"Langkah ini tepat untuk kelangsungan hidup keluarga peneroka, sepanjang tempoh bersama Felda sejak 1998 banyak bantuan yang disediakan kepada peneroka untuk membuat pilihan," katanya.

Beliau berkata inisiatif pelarasan pinjaman peneroka yang dilaksanakan itu dapat mewujudkan satu sistem kebersamaan antara Felda dengan peneroka ke arah pengurusan ladang lestari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Felda Sahabat 3 Damianus Gajong berkata Felda sedaya upaya memastikan peneroka menerima bantuan sewajarnya dalam mendepani Covid-19 dan sejak pandemik itu, tiga fasa bantuan bakul makanan disalurkan kepada 1,647 peneroka di Sabah.

Selain itu katanya, Felda turut menyalurkan bantuan wang tunai (one-off) RM600 kepada peneroka yang terkesan dengan pemberhentian operasi ladang selama 43 hari.

"Felda cuba memastikan kebajikan semua peneroka di Sabah terbela termasuk menerima vaksin...sehingga kini 32 peratus peneroka sudah menerima suntikan vaksin," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!