Hutan awan di Mossy Forest sungguh memukau!
Jom terokai pesona hutan seluas 914 hektar terletak di Cameron Highlands
MEMANG nampak menyeramkan kalau sekali pandang. Namun, apabila anda mengambil masa sedikit menghayati suasana kabus tebal dengan cuaca sejuk hingga mencengkam tulang rusuk, nescaya, anda tidak mahu meninggalkan Hutan Mossy Gunung Brinchang atau Mossy Forest, Cameron Highlands ini.
Tidak keterlaluan untuk penulis rumuskan bahawa masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan hutan lumut ini. Justeru, singgahan ke sana baru-baru ini memberi peluang kepada penulis menceritakan serba sedikit tentang anugerah alam terhebat ini.
Mossy Forest yang seluas 914 hektar ini merupakan satu-satunya titik tertinggi di Semenanjung Malaysia yang boleh diakses dengan kenderaan.
Ya, penulis berpeluang meneroka Mossy Forest. Penulis bersama dengan teman media lain diiringi jurupandu berpengalaman, Ahmad Barhanudin.
Kami menaiki pacuan empat roda ke pintu masuk yang jaraknya cuma enam kilometer dari jalan utama. Namun, ia mengambil masa lebih 20 minit melalui Ladang Teh Boh Sungai Palas yang merupakan antara ladang teh tercantik di Asia Tenggara.
Hutan awanLaluannya sempit, berliku, berlubang dan bersimpang-siur. Beberapa kali jugalah kami terpaksa berhenti ketika bertembung dengan kenderaan lain.
Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Apa yang penulis dapat kongsikan, pemandangan sepanjang perjalanan melalui ladang teh memang cukup memukau. Memang tidak puas rasanya melirik kabus dan menjamu mata dengan kehijauan ladang. Cantiknya, Subhanallah!
Setibanya di pintu masuk Mossy Forest, suhu ketika itu sekitar 18 hingga 16 darjah selsius. Kesejukannya semakin lama dapat dirasakan seperti 'terperangkap' dalam peti sejuk beku.
Masakan tidak, menurut jurupandu kami, Ahmad, suhu pada waktu siang antara 28 darjah selsius hingga 16 darjah selsius. Manakala pada waktu malam boleh mencecah 4 darjah selsius. Justeru, jangan lupa memakai pakaian yang bersesuaian.
Ini merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Penulis bersama rakan-rakan lain boleh melihat kedudukan awan pada paras yang begitu rendah di Mossy Forest. Awan itu bergerak laju lantaran ditiup angin. Apabila melihat gerakan awan pada celah-celah pokok-pokok di situ, penulis dapat rasakan aura yang cukup luar biasa.
Kini, penulis mengerti mengapa Mossy Forest turut dikenali sebagai hutan awan. Jadi, tidak hairanlan juga penggambaran filem Puteri Gunung Ledang dilakukan di lokasi yang cukup indah ini.
Sebenarnya, untuk ke Mossy Forest, pihak Jabatan Hutan Cameron Highlands menyediakan laluan pelantar kayu. Bagaimanapun, nasihat penulis kepada para pengembara semua, anda perlu berhati-hati kerana permukaan tanah sangat licin.
Setahu kami, laluan itu bukan sahaja dibina bagi menjaga alam sekitar. Namun, pada masa yang sama, membenarkan pengunjung menikmati pemandangan tanpa perlu memijak lumut yang tumbuh melitupi tanah.
Malangnya, ketika kami sampai, pelantar tersebut masih ditutup susulan musim hujan dan kerja baik pulih sedang dijalankan. Ia dibuka semula pada 1 Februari lalu.
Namun, untuk tidak menghampakan kumpulan media, Ahmad memandu kami ke sebelah kiri hutan menuju ke arah puncak Gunung Brinchang. Suasana ini pun dah cukup cantik, sampaikan kami semua tidak mahu balik.
Menariknya, ketika tiba di kawasan puncak (yang terdapat menara), Ahmad berkata: "Kalau awak semua toleh ke kiri, awak akan nampak negeri Pahang dan kalau toleh ke kanan pula, nampak negeri Perak. Kamu semua boleh saksikan pemandangan hutan dua negeri sekali gus. Wah, hebat bukan?
Oh! ya, kalau anda mahu mendaki Gunung Irau, anda boleh melalui platform tersebut sehingga ke penghujung dan teruskan perjalanan sekitar tiga atau empat jam sebelum tiba di puncak gunung berketinggian 2,112 meter dari paras laut itu. Jangan lupa mohon permit terlebih dahulu.
Sebenarnya, sebelum kembara kami bermula, Ahmad berpesan kepada kami: "Tangan jangan gatal dan jangan pijak lumut kerana tumbuhan ini mengambil masa yang lama untuk tumbuh semula." Jadi, kepada bakal pengembara, ingatlah nasihat ini.
Kini percutian bersama keluarga tercinta dan sahabat di Cameron Highlands bukan lagi sekadar ladang strawberi atau di pasar malam sahaja. Jadikan Mossy Forest dalam senarai destinasi anda!
ANEKDOT Mossy Forest
Terletak di Hutan Simpan Kekal Batu Gangan, Cameron Highlands. Ketinggian 2,031 meter dari aras laut. Laluan masuk paling mudah dari Ladang Teh Boh Sungai Palas. Fi masuk RM10 (dewasa) RM5 (kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas) dan percuma untuk OKU.
Tip ke Mossy Forest:
1. Anda boleh datang sendiri namun digalakkan datang dengan pemandu pelancong yang lebih arif.
2. Laluan sempit dan berlubang jadi kebanyakan pemandu akan berpatah balik di separuh jalan.
3. Pakai pakaian sesuai untuk suhu rendah dan aktiviti dalam hutan.
4. Pastikan anda simpan dan bawa keluar sampah masing-masing serta patuhi segala papan tanda amaran.
5. Waktu sesuai untuk ke sini pada waktu pagi kerana kebiasaannya tidak hujan. Kalau hujan, cuaca lebih sejuk dan licin. Semak ramalan kaji cuaca sebelum memulakan perjalanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!