Krisis kemanusiaan Yaman: Malaysia ikrar sumbangan AS$100,000
PUTRAJAYA - Malaysia berikrar akan menyumbangkan AS$100,000 kepada Mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland untuk menangani keperluan kemanusiaan penduduk di Yaman, kata Wisma Putra hari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan menghadiri Segmen Peringkat Tinggi Sesi Biasa Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke-40 di Geneva yang bermula hari ini sehingga esok.
Saifuddin akan mengambil bahagian dan menyampaikan kenyataan-kenyataan pada Segmen Peringkat Tinggi Sesi Majlis Hak Asasi Manusia, Acara Ikrar Janji Peringkat Tinggi mengenai Krisis Kemanusiaan di Yaman dan Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata, kata kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Malaysia akan menyampaikan ikrar untuk menyumbang AS$100,000 itu pada Acara Ikrar Janji Peringkat Tinggi Mengenai Krisis Kemanusiaan di Yaman.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB ialah badan utama yang dianggotai pelbagai badan kerajaan di bawah sistem PBB yang bertanggungjawab bagi memperkukuh, mempromosi serta melindungi hak asasi manusia.
Wisma Putra berkata Saifuddin akan menjelaskan dasar kerajaan Malaysia berhubung perlindungan dan promosi hak asasi manusia di Malaysia pada Segmen Peringkat Tinggi Majlis Hak Asasi Manusia.
Selain pertemuan dua hala, Saifuddin juga akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet dan melawat Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), selain mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan-pertubuhan Masyarakat Madani (Civil Society Organisations - CSOs) dan rakyat Malaysia di Geneva, katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!