Sidang Parlimen mulai 26 Julai tidak berfungsi penuh: MCCHR
SHAH ALAM - Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) berpendapat bahawa sidang Parlimen yang akan diadakan selama lima hari bermula 26 Julai ini tidak berfungsi secara penuh.
Ketua Strategi Hak Asasi Manusia MCCHR, Firdaus Husni berkata, ia berikutan kekangan tempoh itu terlalu singkat untuk membahaskan isu rakyat serta perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh memerangi pandemik Covid-19.
“Jika dilihat dari agenda ini, sesi penerangan juga kita tidak pasti ada ruang untuk soal jawab. Justeru, fungsi parlimen dalam konteks lima hari bersidang saya tidak nampak.
“Memang dari satu sudut ia merupakan idea positif dalam kita menghidupkan kembali fungsi Parlimen dalam demokrasi negara kita. Tetapi dalam masa sama, ia agak kecewa kerana kita tidak nampak kebolehan ataupun ruang Parlimen sebagai sebuah institusi demokrasi untuk menjalankan fungsi secara penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum analisis bertajuk ‘Negara Dalam Krisis, Apa Solusi Terbaik?’ menerusi platform media sosial Sinar Harian, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Dialetika TV pada Ahad.
Forum yang dikendalikan Syed Munawar Syed Mustar itu turut menampilkan Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Datuk Seri Nazir Razak, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Timbalan Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin sebagai panelis.
Sementara itu, menurut Firdaus, dari segi sistem demokrasi, negara ini perlu maju ke hadapan dengan mewujudkan satu demokrasi baharu iaitu demokrasi partisipatif (participative democracy)
Jelasnya, ia merujuk kepada satu sistem yang mana penyertaan rakyat dalam sebuah demokrasi bukan hanya sekadar membuang undi di peti undi tetapi lebih daripada itu.
“Jika dilihat struktur parlimen yang sedia ada iaitu demokrasi perwakilan (representative democracy), bagi saya ia sudah pun mempunyai ruang untuk masyarakat sivil terlibat dalam proses berkenaan.
“Justeru, dengan adanya demokrasi partisipatif ini, ia mampu menyumbang ke arah undang-undang yang lebih baik dari segi dasar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!