Bukankah menjaga rahsia itu lebih baik
MINGGU lalu kecoh apabila satu rakaman audio dikatakan mirip suara Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tular di media sosial.
Setakat ini tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab merakam dan membocorkan audio itu kepada umum.
Bagi Merak Jalanan, jika audio itu benar sekalipun, ia tidak dapat dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah, sebaliknya perbuatan membocorkan rahsia adalah jelas perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab.
Sebarang isu yang dibincangkan dalam mesyuarat yang bersifat kerahsiaan perlu dijaga daripada bocor kerana ia bakal mengundang mudarat atau keburukan yang lebih besar.
Tapi apabila ada individu yang tidak jujur dan amanah atau mempunyai agenda tertentu maka rahsia tersebut akan didedahkan kepada umum.
Apatah lagi dengan kepelbagaian kecanggihan teknologi alam maya melalui media sosial, wujud individu tertentu yang yang menjadi medium pembocor rahsia sehingga maklumat tersebut tersebar dengan pantas.
Dengan fenomena ‘viral’ di alam maya, masing-masing mahu bersaing siapa juara mendapatkan ‘share’, ‘like’ dan ‘comment’. Oleh itu haruslah sentiasa mengingatkan diri sendiri dan diri orang lain tentang kepentingan menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
Rasululullah SAW pernah bersabda: “Percakapan di antara kamu adalah amanat.” Oleh itu maka memecahkan rahsia orang dikira suatu pengkhianatan dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, bila ia boleh menimbulkan mudarat pada orang itu.
Di sisi kanan dan kiri kita sentiasa ada malaikat yang setia memerhatikan amalan kebaikan dan kejahatan kita tanpa leka sebagai bukti amalan kita di hadapan ALLAH nanti.
Di samping itu, ALLAH juga sentiasa memerhatikan kita setiap masa. Pilihan di tangan kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!