Kita masih dalam kesukaran
AMAT jelas kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh para peniaga kecil dan runcit di kawasan dilanda Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kelihatan seperti tiada penghujungnya.
Walaupun PKPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan tamat 16 Julai lalu tetapi tiada keputusan baharu mengenainya, bermakna penduduk di dua negeri ini kembali berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan dalam fasa berkenaan. Ia juga bermakna tiada rentas negeri dan daerah bagi semua individu termasuk suami isteri jarak jauh tanpa kebenaran.
Hanya dua orang sahaja dibenarkan berada di dalam kereta untuk membeli barang keperluan, manakala untuk perjala-nan perubatan, juga dua orang dan pesakit dibenarkan.
Bukan itu sahaja, perjalanan tidak boleh melebihi 10 kilometer dari rumah dan hanya keluar untuk membeli barang keperluan harian, bekalan perubatan atau penjagaan kesihatan.
Walaupun ia bukannya perintah berkurung tetapi sesiapa pun tidak dibenarkan keluar selepas jam 8 malam kecuali atas urusan kecemasan sahaja.
Orang ramai dibenarkan berjoging dan bersenam tetapi hanya di kawasan terbuka di sekitar taman perumahan di mana mereka bermastautin dari jam 7 pagi hingga jam 8 malam.
Makan di premis restoran atau letak kenderaan dan makan juga tidak dibenarkan, manakala pasar pagi masih tidak dibenarkan beroperasi.
Ia mendorong dua orang ahli Parlimen dari Kuala Lumpur iaitu Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Seputeh, Teresa Kok mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menimbang permohonan para peniaga agar mereka diberi kebena-ran khas untuk berniaga semula.
Penutupan pasar pagi kata mereka, bukan sahaja menutup pintu rezeki para peniaga kecil tetapi menyebabkan pembeli menyerbu pasar raya yang sekali gus berpotensi mewujudkan kluster baharu Covid-19.
Fahmi berhujah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu turun ke bawah dan menyelami isu yang sedang dihadapi rakyat, khususnya para peniaga kecil di pasar pagi.
Ia penting agar MKN dapat mencari satu formula seimbang dan menang-menang bagi menangani isu Covid-19 dan langkah-langkah kawalan pergerakan selepas ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi wartawan menyatakan beliau mengambil maklum isu yang dibangkitkan ahli-ahli Parlimen berkenaan tetapi ia terletak di bawah bidang kuasa MKN.
Kesimpulannya, jika para peniaga kecil di pasar-pasar pagi mengharapkan jawapan segera yang positif, mereka boleh bermimpi di siang hari.
Nampaknya siapa pun tiada jawapan kepada permasalahan yang bukan sahaja mereka hadapi tetapi kita semua hadapi sekarang melainkan semua pihak berusaha keras untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan yang kedua, jaga SOP.
Sementara itu mari kita lihat data yang berada di hadapan kita sekarang untuk kita sama-sama menganalisis suasana semasa.
Daripada jumlah 10,710 kes baharu hari ini (18 Julai 2021):
> Kategori 5 (kritikal, gunakan ventilator): 95 kes (0.9 peratus)
> Kategori 4 (perlu bantuan oksigen): 45 kes (0.4 peratus)
> Kategori 3 (radang paru-paru): 91 kes (0.8 peratus)
> Kategori 2 (gejala ringan): 4,162 kes (38.9 peratus)
> Kategori 1 (tiada gejala): 6,317 kes (59 peratus)
Secara keseluruhannya, 2.1 peratus (231 kes) yang dilaporkan berada pada kategori 3, 4 dan 5.
Meskipun peratusan kes di kategori 3-5 adalah tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa:
Kes kategori 5: Memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari.
Kes kategori 4: Memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari.
Kes kategori 3: Memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi.
Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes-kes ini untuk diberi jagaan di wad dan ICU, lalu mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak.
Ia akan terus membebankan sistem kesihatan terutama di ICU, hospital dan PKRC.
Oleh itu kita perlu bersama-sama menjaga diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita agar terlindung daripada dijangkiti Covid-19.
Segeralah mendaftar dan dapatkan suntikan vaksin Covid-19 agar kita dapat melindungi diri dan melindungi semua.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!