Dulu bagi rasuah tengah laut, sekarang semua online
SHAH ALAM - Perbuatan rasuah pada hari ini bersifat lebih tersembunyi kerana kebanyakan transaksi berlaku secara atas talian atau di alam maya berbanding pada tahun 80-an yang menggunakan wang kertas atau pertemuan fizikal.
Bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah berkata, senario rasuah pada zaman kini lebih mencabar dan penguat kuasa memerlukan kecekapan teknologi maklumat seiring dengan arus semasa.
“Kalau zaman dahulu kita berjaya kesan melalui bentuk fizikal seperti penyerahan cek atau wang kertas yang banyak, tetapi sekarang transaksi itu dilakukan secara atas talian.
“Sewaktu zaman saya melakukan operasi tangkapan, kami pernah tangkap pesalah sedang memberi rasuah di tempat sembelihan babi, dalam perahu di tengah laut, di lorong sempit penagih dan berbagai lagi kawasan,” ujarnya.
Beliau berkongsi dalam program diskusi anjuran My Anti-Corruption Channel (MACC) atau MACC.fm bertajuk ‘Rasuah: Jangan memberi, Jangan Menerima’ secara dalam talian pada Khamis.
Turut bersama menjayakan program itu ialah Profesor Adjung Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Chuari Selamat dan Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia.
Samat turut berkongsi angka rasuah pada zaman kini melibatkan ratusan juta, berbanding tahun 80-an dulu sewaktu beliau memegang portfolio sebagai ketua siasatan rasuah di SPRM.
“Kalau dulu angka tiga juta itu dikira sangat besar untuk salah laku rasuah, namun kini angka itu meningkat hingga ratusan juta dan tidak mustahil pada masa akan datang rasuah melibatkan angka bilion,” tambahnya lagi.
Menjawab soal integriti dan etika kerja, beliau akui perlu ada anjakan permulaan yang besar dalam soal integriti, bukan sahaja dengan tindakan mencegah salah laku rasuah.
“Mencegah rasuah adalah usaha akhir ibarat kita mencuci air kotor di muara sungai kita, tetapi pembudayaan integriti ini adalah penjagaan daripada hulu supaya air dari hulu itu bersih maka kita tidak lagi mencuci air kotor di muara sedangkan dari hulu masih kotor,” beliau berkias.
Dalam pada itu, Chuari turut bersetuju dengan ulasan Samat mengenai pembudayaan integriti. Beliau berkata pembudayaan integriti itu boleh disemai seawal peringkat sekolah rendah sehinggalah institut pengajian tinggi (IPT).
“Anjurkan pertandingan sajak, pantun, puisi yang berkisarkan tolak rasuah atau pun budayakan integriti secara berterusan di pelbagai platform, hal ini secara tidak langsung akan tersemat dalam jiwa masyarakat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!