[VIDEO] Caprice mohon maaf, mengaku bertindak mengikut emosi

Caprice memohon maaf kepada Malaysia dan rakyat negara ini. - Foto Instagram Caprice
Caprice memohon maaf kepada Malaysia dan rakyat negara ini. - Foto Instagram Caprice
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Penyanyi rap, Caprice yang mencetuskan kontroversi Jumaat lalu apabila membuat pendedahan mengenai misi bantuan Ebit Lew di Gaza, baru-baru ini tampil memohon maaf kepada Malaysia dan rakyat negara ini.

Beliau mengakui apa yang berlaku adalah kesilapannya sendiri dan tidak membabitkan pihak lain.

Dalam hantaran di laman Instagram Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kedutaaan Malaysia di Mesir dan juga kerajaan Mesir di atas layanan yang diberikan terhadapnya termasuk perlindungan 24 jam sepanjang di negara itu.

“Salam Tuanku @hrhcrownprinceofjohor @hishammuddinhussein ebitlew.

“Caprice mohon minta maaf atas kesilapan Caprice di mana kita terlalu emosi tentang pejuang kita demi ummah, demi Palestine, dan demi Rakyat Malaysia. Ape yang berlaku adelah kesilapan Caprice sendiri dan tidak terlibat pihak lain,” katanya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada @hishammuddinhussein, Kedutaan Malaysia di Mesir dan kerajaan Mesir atas kemudahan, sokongan dan perlindungan serta keselamatan 24 jam selama saya berada di Mesir,” katanya.

Caprice turut mengucapkan terima kasih kepada Azeez yang membawanya menyertai misi kemanusiaan di Palestin di menerusi badan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang dinaungi ahli politik berkenaan.

“Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada @azeezrahim yang tiba-tiba menjadi seorang ayah kepada saya selama kita kenal.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak mampu membalas kasih sayang dan sokongan yang telah anda tunjukkan sepanjang misi ini,” katanya dalam satu hantaran panjang lebar dalam Instagram.

Beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf daripada orang tuanya yang semestinya resah dan risau akan keselamatannya.

“Akhir sekali, saya minta maaf kepada ibu dan ayah kerana membuatkan kalian risau tentang keselamatan saya.

“Saya sayang kalian dan memang menjadi niat saya sejak saya memutuskan untuk hidup dengan cara saya bermula usia 16 tahun adalah tidak lain hanya untuk membuatkan anda bangga,” luahnya.

“Minta maaf Malaysia dan rakyat Malaysia. Insya-Allah, saya akan kembali selepas saya habis dan lunaskan beberapa janji yang telah saya tabur kepada rakyat Palestin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kontroversi berkenaan didakwa dicetuskan oleh Caprice apabila menegur Ebit selepas dia menerima rungutan daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan.

Caprice yang kini dalam Misi Kemanusiaan Untuk Palestin mendakwa kecewa dengan pendakwah terkenal itu kerana menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza sebagai bahan kandungan di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew, Caprice trending di Twitter

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!