Pemancing dikhuatiri lemas dibawa arus
KEMAMAN - Seorang pemancing dikhuatiri lemas dibawa arus ketika memancing di Sungai Cerul, Bandar Baru Cheneh di sini pada malam Ahad.
Difahamkan, mangsa Muhamad Zulkefli Ismail, 34, ketika itu memancing bersama tiga individu lain termasuk anak saudaranya tidak sempat mengambil ikan yang tersangkut pada mata kail miliknya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, ketika kejadian anak saudara lelaki mangsa berusia lingkungan 14 tahun yang melihat kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun gagal.
"Mangsa dipercayai telah dibawa arus ketika turun ke dalam air untuk mengambil ikan yang tersangkut pada mata kailnya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mohamad Hanif berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 7 malam Ahad.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari BBP Cheneh serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Chukai segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dimulakan bagi membantu mengesan dan menyelamatkan mangsa.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa pada Isnin dilakukan menggunakan bot dengan radius pencarian sejauh kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!