Perwakilan Pelajar: Kekal elaun IPG langkah positif

Institut Pendidikan Guru Malaysia
Institut Pendidikan Guru Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan pembayaran Elaun Sara Hidup sebanyak RM430 sebulan dan belanja tambang pergi balik maksimum RM500 seperti biasa.

Menurut jawatankuasa itu, pembayaran ini merupakan satu perkembangan positif kerana secara langsung menutup tanggapan dan dakwaan di media sosial sebelum ini bahawa kadar Elaun Sara Hidup akan dikurangkan dan kemungkinan akan dihentikan terus.

"Di sebalik tanggapan sedemikian itu, pembayaran secara berperingkat sejak minggu lalu menunjukkan komitmen Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Kementerian Pendidikan dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)," kata JPP dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Malah menurut jawatankuasa itu, maklumat yang diterima juga menunjukkan semua pelajar IPG sudah pun menerima bayaran elaun masing-masing.

Katanya, langkah meneruskan bayaran elaun pada jumlah penuh seperti sebelum ini juga menunjukkan kerajaan komited untuk mengurangkan beban kewangan para pelajar, sekali gus melahirkan bakal guru berkualiti.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan berkata, pelajar-pelajar yang sedang mengikuti PISMP akan menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM430 sebulan seperti biasa.

Kementerian Pendidikan berkata, pelajar-pelajar terbabit juga akan menerima belanja tambang pergi balik pada kadar maksimum RM500 untuk sekali setahun seperti biasa.

“Dimaklumkan bahawa elaun sedang dimasukkan ke dalam akaun pelajar dan mereka akan menerimanya selewat-lewat sebelum akhir bulan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini wujud dakwaan dalam media sosial bahawa kerajaan telah memotong atau menghentikan bayaran elaun itu.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau juga seperti semua rakyat Malaysia, sangat cakna dan prihatin terhadap isu-isu kebajikan.

"Apatah lagi ia melibatkan kebajikan bakal guru," kata beliau.

Katanya, hasil dari pelbagai usaha pegawai Kementerian Pendidikan dan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Elaun Sara Hidup bagi pelajar PISMP akan tiba di akaun pelajar-pelajar IPG selewat-lewatnya akhir Februari ini.

"Saya berdoa agar para siswa guru semua terus berbakti untuk melatih diri menjadi adiguru hebat ketika keluar mengajar di sekolah nanti.

Persiapkanlah diri untuk mendidik anak bangsa. Masa depan negara dicorak oleh kalian semua," kata beliau menerusi laman Facebook.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!