Warga PDRM diseru sentiasa junjung amanah
KUALA LUMPUR - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru sentiasa menjunjung amanah diberikan demi agama, bangsa dan negara dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang digalas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sempena sambutan Aidiladha ini, seluruh warga PDRM perlu bersama-sama mencari keredaan-Nya dengan menjunjung amanah dalam jalan jihad ini demi agama, bangsa dan negara.
"Semoga pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan ini diterima sebagai ibadah dan diberikan ganjaran yang setimpal serta kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.
"Dalam kita mendepani krisis ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, sambutlah kehadiran Aidiladha ini dengan penuh kesyukuran dan keinsafan," katanya menerusi perutusan sambutan Aidiladha yang dikeluarkan pada Isnin.
Katanya, bagi umat Islam, kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail demi menunaikan perintah ALLAH SWT, seharusnya dijadikan sebagai iktibar untuk terus tabah menempuh ujian kehidupan dalam mencari keredaannya.
"Bahkan, peningkatan kes baharu Covid-19 dalam negara muktahir ini, turut menuntut pengorbanan tertinggi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa jua pegangan agama.
"Kita semua perlu terus bersatu hati serta mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang dikeluarkan oleh kerajaan, demi mengawal penularan wabak maut tersebut," katanya.
Menurutnya, beliau serta isteri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia amnya.
"Semoga kita sentiasa berada di bawah payung lindungan dan rahmatnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!