Pemancing hilang ditemukan lemas

Mayat mangsa lemas ditemukan pasukan penyelamat pada jam 10.30 pagi Isnin. - Foto ihsan JBPM
Mayat mangsa lemas ditemukan pasukan penyelamat pada jam 10.30 pagi Isnin. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pemancing yang hilang di Sungai Cerul, Bandar Baru Cheneh di sini ketika memancing pada malam Ahad ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 10.30 pagi pada Isnin.

Mayat mangsa, Muhamad Zulkefli Ismail, 34, dijumpai pada kedudukan 150 meter dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, abang mangsa membuat laporan berhubung kehilangan adiknya itu pada jam 9.24 malam pada Ahad.

"Difahamkan pengadu cuba mencari mangsa di kawasan Sungai Cerul tetapi tidak menjumpainya. Pengadu mengesyaki adiknya terjatuh di dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hanyan memberitahu, pasukan bomba dan anggota polis menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak semalam.

"Usaha mencari mangsa dilakukan 11 anggota polis dan seorang pegawai, 25 anggota bomba dan empat pegawai serta empat orang awam," katanya.

Pada Ahad, seramai empat pemancing keluar memancing di Sungai Cerul, di sini sebelum salah seorang daripadanya dikatakan terjatuh ke dalam sungai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemancing dikhuatiri lemas dibawa arus

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!