APMM gerak aset bantu cari mangsa lemas
PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan telah menggerakkan asetnya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemandu lori arang batu yang dikhuatiri lemas di Jeti Jimah Power Plant di sini awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kita jam 1.30 pagi itu, lori dipandu Sharul Nizwan bin Said, 33, dipercayai terjunam ke dalam laut dan mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam lori dan usaha untuk mengesan serta mengeluarkan mangsa kini sedang giat dijalankan.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor dan terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Port Dickson.
"Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah mengatur gerak bot ronda ke lokasi kejadian bagi operasi pencarian.
"Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga turut didirikan di kawasan kejadian bagi mengkoordinasikan operasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, setakat jam 10.30 pagi, tiada sebarang petunjuk ditemui dan kerja penyelaman dijangka akan dilakukan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam waktu terdekat dengan dibantu oleh anggota bot PETIR 84 daripada Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Ujarnya, maklumat juga telah disalurkan kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JPBM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu misi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, ketika kejadian mangsa dan empat lagi rakannya yang merupakan warga asing sedang melakukan kerja pembersihan arang batu di jeti pemunggahan arang batu untuk disimpan ke 'coal yard' di jeti berkenaan.
“Ketika ini Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba sedang menjalankan SAR mangsa yang bermula sejak pagi tadi (Isnin) dan mangsa dipercayai terjatuh di kedalaman kira-kira 25 meter dari paras laut,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, operasi SAR berkenaan mengalami sedikit kesukaran ekoran air laut yang bergelora dan ombak besar ketika ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dikhuatiri lemas lori dipandu terjatuh ke laut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!