Pekerja penyelenggaraan didakwa miliki rokok seludup RM1.182 juta
NIBONG TEBAL - Seorang pekerja penyelenggaraan penyaman udara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi di sini pada Isnin atas pertuduhan memiliki rokok seludup bernilai RM1.182 juta, awal Januari lepas.
Ho Chung Guan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aziana Azib.
Dia didakwa memiliki 1.77 juta batang rokok pelbagai jenis bernilai RM1.182 juta yang dilarang pengimportannya di sebuah kediaman di Hijauan Hills, Simpang Ampat pada 11 pagi, 7 Januari lepas.
Lelaki itu yang tidak mempunyai dokumen membuktikan rokok yang dirampas diimport secara sah didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Chung Guan yang diwakili peguam Zainal Akram Zainal Azahar sebelum itu memohon mahkamah mengenakan jaminan minimum atas alasan dia hanya berpendapatan RM2,000 sebulan, selain perlu menanggung keluarga termasuk isteri yang tidak bekerja dan bayi berusia lapan bulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!