Ceroboh hutan simpan: ADUN Selangor, 28 individu dilepaskan
KUANTAN - Semua 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis pada Ahad dilepaskan dengan jaminan polis pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mereka dibebaskan kira-kira 3 pagi selepas diambil keterangan.
"Bagi pihak polis, siasatan dilakukan kerana kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran, manakala dakwaan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran disiasat oleh Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP)," katanya semasa dihubungi di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN:Masuk hutan ketika PKP, ADUN Teratai beri keterangan
Pada Ahad, JPNP mengesahkan semua suspek yang beralamat di Kuala Lumpur dan Selangor itu ditahan pada 8 pagi di Kampung Rakoh, Pos Lenjang kerana didakwa memasuki hutan simpan berkenaan dengan menggunakan 11 kenderaan pacuan empat roda tanpa kebenaran pada Sabtu lepas.
Mereka termasuk tujuh wanita difahamkan masuk ke hutan itu atas alasan memberi bantuan makanan kepada orang asli, sedangkan pemeriksaan JPNP dan Pusat Kawalan Operasi Bencana mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi tujuan tersebut. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kebenaran rentas, ceroboh hutan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!