Tiada aliran trafik luar biasa keluar ibu negara
KUALA LUMPUR - Keadaan jalan-jalan utama menuju keluar daripada ibu kota dalam keadaan terkawal setakat tengah hari Isnin dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan di lebuh raya utama seluruh negara menjelang sambutan Aidiladha.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya berharap agar orang ramai akur dengan larangan merentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan kini agar kes jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.
“Kami berharap orang ramai untuk duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada urusan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri susulan terdapat individu menyalahguna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.
Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata, kesesakan hanya berlaku di beberapa lokasi terdapat sekatan jalan raya (SJR) yang didirikan polis.
"Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berlaku kesesakan biasa sepanjang 400 meter sebelum Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan susulan SJR yang dijalankan di lokasi berkenaan.
"Keadaan trafik menghala ke Pantai Timur juga berada dalam keadaan terkawal yang mana kesesakan hanya berlaku di lokasi terdapat SJR, di Plaza Tol Bentong menghala ke pantai Timur dan di Plaza Tol Gombak menghala ke ibu kota dengan kesesakan dianggarkan sepanjang 200 meter," katanya.
Menurut jurucakap itu, tiada kesesakan luar biasa dikesan sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke utara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!