Agong zahir takziah kepada keluarga Leong Chee Woh

Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang. - Foto FB Istana Negara
Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Pasukan Rahsia Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Dr Leong Chee Woh yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasminya menyatakan Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Pahlawan Negara itu dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang dalam usaha-usaha memerangi serta membanteras pemberontakan pengganas komunis di negara kita," demikian menurut hantaran itu.

Chee Woh, 92, meninggal dunia petang Ahad akibat strok di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.

Ketokohan mendiang sebagai pegawai polis terserlah apabila dilantik mengetuai Pasukan E3F atau lebih dikenali sebagai Pasukan F yang ditubuhkan pada 1971 bagi membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1968 hingga 1989 di Semenanjung Malaysia serta Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).

Hasil kepimpinannya dalam Pasukan F, seramai 48 pengganas PKM berjaya dibunuh, 171 lagi ditahan bersama 1,432 tali barut dan kejayaan melumpuhkan pemberontakan pengganas PKM itu menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM.

Semasa hayatnya, Chee Woh pernah dikurniakan Anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V pada 2017 atas jasa bakti dan sifat keberaniannya semasa berkhidmat bersama PDRM. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!