Bekas Editor Bernama.com meninggal dunia akibat Covid-19

Allahyarham Ahmad Kamil Mohamed Tahir. - Foto Bernama.com
Allahyarham Ahmad Kamil Mohamed Tahir. - Foto Bernama.com
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Editor Bernama.com, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Ahmad Kamil Mohamed Tahir meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 2.30 petang Isnin.

Menantunya, Mohd Noor Firdaus Mohd Azil mengesahkan perkara itu berkata, Ahmad Kamil, 60, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan mempunyai komorbiditi.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 sejak 6 Julai lepas dan berada di unit rawatan rapi (ICU) sejak 8 Julai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Firdaus berkata, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan Normacella Shanaz dan dua anak lelaki iaitu Ahmad Sadeqh dan Ahmad Redha Aidid.

Difahamkan seluruh keluarga Ahmad Kamil disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin sejak 6 Julai lepas.

Ahmad Kamil memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet Bernama pada 1 Ogos 1982 dan pernah menyandang beberapa jawatan termasuk menjalankan tugas Ketua Biro Negeri Sembilan pada 2006, penyunting Meja Berita Am, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) pada 2007 dan timbalan ketua penyunting meja Bahasa Melayu, PBDN pada 2018.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Luar Bandar dari 2003 hingga 2005.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Kamil menjawat jawatan Timbalan Ketua Penyunting di Bernama.com sebelum bersara wajib pada 4 Januari lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad menyifatkan Ahmad Kamil sebagai sahabat yang sentiasa ceria, peramah dan rajin.

“Beliau antara yang terserlah dalam kumpulan kami pada 1982. Beliau antara pertama yang menjadi ketua biro dalam kalangan kumpulan kami, dan sentiasa menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perkhidmatannya,” katanya.

Abdul Rahman turut berkata, beliau amat mengenali keluarganya termasuk isterinya Allahyarham Misnah Umar, bekas wartawan Utusan Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!