Kurang nutrisi: Gajah liar ditemui mati
GERIK- Seekor gajah betina berusia 35 tahun ditemui mati di tepi Jalan Gerik - Jeli berhampiran kawasan Sungai Lebir di sini, semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin mengesahkan haiwan liar itu mati kerana kekurangan nutrisi akibat ulser kronik.
"Anggota ada menerima laporan terdapat gajah di kawasan itu pada Ahad lalu dan pemeriksaan mendapati gajah berkenaan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
"Disebabkan ia berada berhampiran dengan jalan raya, anggota bertindak mengawal lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian membabitkan pengguna jalan raya tersebut," katanya.
Menurutnya, haiwan itu telah terjatuh ke dalam longkang dan doktor veterinar dipanggil bagi memberi bantuan.
"Suntikan multivitamin dan ubat tahan sakit telah diberikan namun, gajah itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum mati pada jam 10.30 pagi.
"Bedah siasat di lokasi kejadian menunjukkan haiwan itu kekurangan nutrisi di mana terdapat banyak ulser di dalam mulutnya.
"Keadaan itu menyebabkan dia tidak boleh makan. Pemeriksaan mendapati mulutnya masih ada daun yang tidak dikunyah," katanya.
Wan Shaharuddin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lemak badannya turut berkurangan kerana digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan tenaga.
"Gajah yang sakit akan ditinggalkan atau dipinggirkan oleh kumpulannya sebab dia tidak boleh bergerak. Jadi ia akan merayau sehinggalah ke tepi jalan.
"Bangkai gajah yang mempunyai tapak bersaiz 14 inci itu telah ditanam di kawasan berhampiran selepas bedah siasat tamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!