Tetap fokus walau berdepan pelbagai dugaan
DIMAKLUMKAN di saat akhir layak ke Olimpik Tokyo 2020, perlu menjalani ujian Covid-19 berulang kali dan berjauhan dengan keluarga tidak mematahkan semangat penerjun wanita negara Cheong Jun Hoong untuk berjuang mengharumkan nama negara.
Beliau berkata, pelbagai cabaran tersebut sebaliknya lebih memberi kekuatan mental dan fokus kepada latihan fasa akhir sebelum bertolak Ahad ini dengan fokus misi adalah melakukan yang terbaik temasya tersebut.
"Saya kini menjalankan latihan sehingga dua sesi sehari dengan setiap sesi selama empat atau lima jam di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dalam enam hari seminggu manakala sehari lagi untuk merehatkan diri.
“Saya perlukan fokus yang banyak kerana sudah tidak banyak masa. Saya juga perlu banyak siap sedia dari segi mental kerana baru dimaklumkan kira-kira dua minggu lepas bahawa saya layak (ke Sukan Olimpik Tokyo).
“Namun saya akan cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik dan mengutamakan keselamatan dengan menjaga diri kerana pandemik Covid-19 yang teruk," kata anak kelahiran Perak berusia 31 tahun itu ketika dihubungi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan kontinjen Malaysia ke Olimpik Tokyo disasar raih tiga pingat dengan salah satunya emas daripada tiga acara, berbasikal trek, badminton dan akuatik.
Jun Hoong berkata, sokongan dan doa ahli keluarga yang berada di Ipoh dapat dirasai bagi mengiringi semangatnya untuk beraksi dan menghadapi saingan bermula 4 Ogos nanti.
Beliau sebelum ini mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas berjaya mara ke separuh akhir acara 10 meter (m) platform individu pada Kejohanan Piala Dunia FINA 2021 di Tokyo, Mei lalu, yang mana peraturan lama menyaksikan semua 18 atlet ke separuh akhir layak ke temasya terbesar dunia itu.
Bagaimanapun, pada 23 Jun lalu, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memutuskan Jun Hoong tidak layak ke Tokyo berikutan perubahan pada peraturan kelayakan yang menyaksikan hanya 12 kuota diperuntukkan untuk ke Sukan Olimpik 2020 berbanding 18 atlet sebelum itu.
FINA dan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) kemudian telah membatalkan peraturan berkenaan dan kembali membenarkan kuota 18 penerjun terbaik ke Olimpik.
Pada Sukan Olimpik kali ini, skuad terjun negara turut dibarisi Pandalela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri yang mengesahkan slot masing-masing lebih awal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!