Hamada mahu angkat maruah Palestin di Tokyo 2020
ATLET angkat berat Palestin, Mohammad Hamada menyasarkan berada dalam senarai kelompok 10 terbaik di Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah mencipta sejarah pertama kali melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyingkap tirai Jumaat ini.
Atlet berusia 19 tahun itu meninggalkan Gaza beberapa minggu lalu bagi memastikan dia tidak berdepan masalah perjalanan ke Tokyo 2020 meraih slot setelah mengikuti enam pertandingan kelayakan antarabangsa sejak 2019.
"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan gembira apabila dapat layak ke Tokyo 2020, saya akan berusaha melakukan yang terbaik di sana nanti.
"Saya berharap dapat mencatatkan rekod peribadi baharu dan berada dalam senarai 10 peserta teratas," kata Hamada yang menjalani latihan lima jam sehari di Doha, Qatar.
Hamada yang akan berlepas ke Tokyo pada 20 Julai, sebelum ini pada Mei lalu, Hamada menduduki tempat ketujuh di Kejuaraan Asia dan kelapan di Kejuaraan Dunia di Uzbekistan untuk kategori atlet Bawah 20 tahun.
Sementara itu, abang Hamada, Hussam, yang juga jurulatih skuad angkat berat Palestin berkata: "Ini adalah penyertaan pertama Palestin dalam sejarah dalam acara angkat berat.
"Proses latihan cukup rumit, namun disebabkan atlet adalah adik saya jadi ia menjadi mudah sedikit," kata Hussam yang mengakui atlet Palestin berdepan kesukaran menjalani latihan dengan peralatan yang kurang lengkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!