Keselamatan kenderaan air perlu dipertingkat: Mahfuz
KUALA LUMPUR - Latihan berkaitan operator bot dan feri khususnya mengenai audit keselamatan terhadap kenderaan air perlu dipertingkat bagi mengelak kemalangan termasuk kebakaran, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata pihaknya sedia memberikan latihan berkenaan agar semua kakitangan sektor berkaitan bersedia menghadapi sebarang jenis kecemasan.
"Saya fikir selepas berlakunya insiden tersebut, seharusnya mana-mana syarikat pengendali feri harus memberi latihan kepada pekerja-pekerja mereka di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) dan kami sedia untuk bekerjasama memberikan tunjuk ajar bagaimana ia harus dilakukan.
"Tindakan sewajarnya akan diambil kepada operator bot dan feri sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994) yang telah ditetapkan," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden kebakaran feri di Langkawi, semalam. Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, seramai 52 penumpang feri Dragon Star 1 berdepan detik cemas apabila feri yang dinaiki terbakar ketika dalam perjalanan dari Kuah menuju ke Kuala Perlis.
Menurut Mahfuz, isu keselamatan pekerjaan menjadi keutamaan pihak kerajaan bagi mengelak sebarang kejadian sama berulang dan tidak mahu sesuatu operasi dilakukan secara sambil lewa dan dikendalikan oleh mereka yang tidak kompeten.
Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata kementeriannya akan melancarkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja dalam usaha melindungi majikan dan pekerja di samping meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Sementara itu, katanya, kementeriannya turut mencadangkan supaya tugas pengawal keselamatan di sekolah digantikan kepada khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai langkah proaktif dalam mengatasi isu 12,000 pengawal keselamatan sekolah yang bakal ditamatkan perkhidmatan.
"Pengawal keselamatan terlibat boleh memohon dan mendaftar sebagai anggota RELA dan keutamaan tersebut sudah tentu diberikan kepada pengawal keselamatan yang sudah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman dalam bidang keselamatan sekolah,” katanya.
Tambahnya perkara yang perlu dilakukan sekarang hanyalah mempertingkatkan kemahiran mereka melalui kursus-kursus jangka pendek agar perkhidmatan keselamatan mereka lebih efisien.
“Langkah ini bukanlah perkara baharu memandangkan sudah banyak jabatan-jabatan kerajaan menggunakan khidmat RELA sebagai pengawal keselamatan dan ia secara tidak langsung boleh mengurangkan pengambilan pekerja warga asing dalam sektor keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media tentang isu terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari hingga menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!