'Tak dapat ziarah, solat bersama pun jadilah'

Kira-kira 70 jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di atas jalan di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Selasa.
Kira-kira 70 jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di atas jalan di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kebenaran menunaikan solat sunat Aidiladha di tempat terbuka dimanfaatkan sebaiknya penduduk Taman Meru Perdana 2 yang melaksanakan ibadah itu di atas jalan raya.

Seorang penduduk, Ismail Tahir, 49, berkata, peluang menunaikan solat sunat Aidiladha sangat bermakna buat penduduk yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menurutnya, walaupun dalam suasana pandemik Covid-19, banyak aktiviti yang tidak boleh dilakukan namun peluang menunaikan solat sunat itu bersama jiran-jiran sangat menggembirakan.

"Walaupun tak boleh menziarahi rumah ke rumah kerana pandemik Covid-19 ini, sekurang-kurangnya kami boleh bersua muka, bertanyakan khabar selepas solat sunat Aidiladha pada hari ini.

"Saya bersyukur kerana dapat menunaikan solat sunat bersama-sama jiran tetangga di taman perumahan ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui menunaikan solat sunat Aidiladha di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Selasa.

Ismail
Ismail

Bagi imam solat sunat Aidiladha itu, Mohd Fariq Izwan Md Bahrin, 39, berkata, kebenaran yang diberikan ini memberi peluang lebih ramai penduduk untuk menunaikan solat sunat Aidiladha memandangkan jumlah terhad dibenarkan di surau dan masjid.

Menurutnya, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jemaah dapat menunaikan solat sunat berjemaah bersama jiran tetangga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff berkata, pihaknya mendapat kebenaran untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di atas jalan di taman perumahan itu.

Menurutnya, inisiatif itu digerakkan persatuan kerana mahu memberi peluang kepada penduduk menunaikan solat sunat beramai-ramai.

Katanya, seramai lebih kurang 70 penduduk lelaki dan wanita berpeluang bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha pada tahun ini.

"Saya mewakili penduduk menjunjung kasih atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membenarkan kami mengadakan solat di kawasan lapang. Begitu juga terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang meluluskan permohonan persatuan.

"Penduduk yang hadir juga memberikan kerjasama yang baik dengan mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Sultan Nazrin sebelum ini memberikan perkenan kepada umat Islam di negeri ini menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka dengan mematuhi SOP ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak perkenan benarkan jemaah solat ikut keluasan masjid, surau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!