Tiga talian tambahan bagi permohonan Bakul Prihatin Negara
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan tiga talian tambahan untuk memudahkan permohonan Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu.
Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan pada Selasa berkata, inisiatif itu berikutan pertanyaan dan permohonan yang sangat tinggi yang diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak permohonan dibuka.
Tiga talian tambahan itu ialah 03-8323 2176, 03-8323 2177 dan 03-8323 2178.
Selain penyediaan tiga talian itu, kementerian itu turut menyediakan medium permohonan alternatif melalui penggunaan Google Form di talian 017-729702.
“Kedua-dua saluran permohonan ini akan mula beroperasi jam 12 tengah hari Selasa.
“Pemohon juga masih boleh terus mengemukakan permohonan menerusi saluran sedia ada seperti menghubungi Bilik Gerakan JKM di 108 buah daerah di seluruh negara, Talian Kasih 15999 atau Whatsapp ke 019-2615999 serta melalui media sosial rasmi kementerian,” katanya.
Sejak permohonan dibuka semalam, seramai 1,355 penerima Bakul Prihatin Negara telah disantuni melibatkan 4,467 isi rumah di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor, Perlis, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor.
Semalam, seramai 3487 orang telah berdaftar sebagai Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian JKM yang bertanggungjawab dalam melaksanaan penyampaian bantuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!