Umpama 'rumah terbuka' petugas PPV sambut penerima vaksin
KUALA LUMPUR - Segak berbaju Melayu serta bersamping, petugas wanita pula anggun mengenakan baju kurung, manakala anggota beruniform setia dengan baju seragam mereka walaupun hakikatnya hanya menyambut Aidiladha kali ini di pusat pemberian vaksin (PPV).
Umpama ‘rumah terbuka’, petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV seperti tuan rumah yang ceria menyambut kehadiran ‘tetamu’ bersilih ganti kerana mempunyai janji temu vaksinasi yang jatuh pada hari pertama sambutan hari raya korban itu.
Tinjauan di PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini mendapati proses pemberian vaksin berjalan lancar dengan bantuan kira-kira 600 sukarelawan yang bekerja tujuh hari seminggu termasuk cuti umum hari ini, mengambil semangat pengorbanan Aidiladha dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bagi Penyelaras Bersama PPV WTCKL, Mejar Mohd Fazli Ismail, bekerja pada hari perayaan tidaklah asing bagi dirinya namun beliau dan pasukannya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada sejarah negara dalam membantu memudahkan perjalanan proses vaksinasi bagi rakyat Malaysia.
“Terlalu besar pengorbanan mereka, mengerah keringat tanpa mengharapkan balasan,” katanya.
Seorang sukarelawan, Muhammad Afiq Mohd Zahari, 25, berkata, sambutan Aidiladha kali ini lebih bermakna apabila beliau dapat menyumbang tenaga dan masa dengan menjadi sebahagian petugas sukarelawan yang berkhidmat di PPV mega berkenaan dalam mempercepatkan proses pemberian vaksin.
“Supaya kita dapat beraya dalam keadaan yang normal kembali pada tahun hadapan apabila kita dapat mencapai imuniti kelompok seperti aspirasi kerajaan,” katanya yang mengenakan baju Melayu biru.
Begitu juga kisahnya di PPV AstraZeneca (PPVAZ) Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) apabila seramai 320 petugas memulakan tugas mereka dengan takbir hari raya selain mengenakan pakaian hari raya demi 'menceriakan' suasana serta menyambut kehadiran orang ramai.
Ketua Penyelaras PPV Mega Persada, Zainal Eran berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan bacaan doa dan takbir serta memasang lagu raya untuk mengambil semangat perayaan ketika bertugas dengan seramai 3,000 individu bakal menerima suntikan di PPV itu hari ini.
Sukarelawan Mohamad Ainul Danial Mohd Aidil, 18, berkata, dengan memakai pakaian tradisional dapat menaikkan semangat bekerja bersama petugas dan sukarelawan lain.
Sementara itu, di PPV Mega Movenpick KLIA di Sepang, petugas, vaksinator mahupun penerima vaksin berbaju Melayu dan berpakaian tradisional bagi meraikan Aidiladha dalam norma baharu.
Seorang sukarelawan yang hanya mahu dikenali sebagai Syah berkata beliau lengkap berbaju Melayu dengan songkok bagi menghidupkan suasana Aidiladha memandangkan tidak dapat balik ke kampung halamannya di Kedah.
Terdahulu, Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid yang ‘turun padang’ menyantuni petugas di PPV berkenaan berkata hampir 99 peratus penduduk dewasa di daerah Sepang telah menerima janji temu vaksin mereka menerusi aplikasi MySejahtera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!