Covid-19: Singapura kembali ke Fasa 2 pada 22 Julai
SINGAPURA - Singapura akan memperketat langkah pengurusan keselamatan (SMM) komuniti dengan kembali ke Fasa 2 (Amaran Tahap Tinggi) bermula 22 Julai hingga 18 Ogos, antara lain menyaksikan perhimpunan sosial hanya dibenarkan seramai dua orang berbanding lima sebelum ini.
Langkah itu berikutan peningkatan kluster Covid-19 membabitkan KTV atau kelab malam. Sebelum ini Singapura telah mengumumkan langkah keselamatan Fasa 3 (Amaran Tahap Tinggi) dari 19 Julai hingga 8 Ogos.
Sejak itu, banyak kluster dikesan melibatkan Pelabuhan Perikanan Jurong, terutama di pasar basah dan pusat makanan penjaja.
"Tidak seperti kluster KTV sebelum ini ia banyak mempengaruhi golongan muda, kluster pelabuhan itu pula menular dalam kalangan penduduk warga emas yang berisiko tinggi sekiranya mereka dijangkiti virus," kata pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF), Gan Kim Yong, pada sidang media maya pada Selasa.
"Terdapat juga kes penularan di beberapa pasar awam yang sering dikunjungi warga emas," kata Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura.
Menurut Gan, terdapat kira-kira 81 warga emas berusia 60 tahun ke atas dijangkiti sejak tujuh hari lalu, 12 daripadanya belum divaksin.
"Ini sangat membimbangkan kerana hampir 30 peratus penduduk warga emas berusia di atas 70 tahun masih belum divaksin," katanya.
Secara keseluruhan, ujarnya hampir 50 peratus penduduk Singapura masih belum menerima suntikan vaksin yang lengkap.
"Memandangkan jangkitan yang lebih cepat merebak dan peningkatan kluster baharu, buat masa ini kita perlu memperlahankan penularan virus untuk memberi kita ruang meningkatkan program vaksinasi terutama dalam kalangan penduduk yang lebih berusia," katanya.
Antara 12 hingga 18 Julai, MTF menyatakan dianggarkan 46 kes penularan tempatan dilaporkan setiap hari dan ini adalah jumlah kes tertinggi yang dikesan sejak April 2020.
Sehingga 18 Julai, Singapura telah memberikan sejumlah 6,794,394 dos vaksin Covid-19 di bawah program vaksinasi kebangsaan, menyaksikan 2,747,489 individu sudah lengkap divaksin.
MTF menyatakan, pihaknya berada di landasan tepat untuk memastikan dua pertiga penduduk lengkap divaksin menjelang Hari Kebangsaan pada 9 Ogos selain menyasarkan untuk memperluas liputan vaksin dalam kalangan warga emas.
Setakat 19 Julai, sejumlah 179 kes dikaitkan dengan kluster Pelabuhan Perikanan Jurong dan 193 ke kluster KTV. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!