KPT disaran nilai semula permohonan pelajar STPM
MELAKA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran menilai semula permohonan pelajar lepasan Sijil Tinggil Pengajian Malaysia (STPM) ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdasarkan keputusan penuh peperiksaan.
Pengerusi Pertubuhan Bertindak Ibu bapa dalam Pendidikan Melaka, Mak Chee Kin berkata, apa yang dikuhatiri IPTA tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menilai keputusan akhir peperiksaan berkenaan disebabkan kesuntukan masa untuk membuat pilihan.
Menurutnya, adalah lebih adil sekiranya tawaran universiti berdasarkan keputusan penuh semester pelajar dan bukan hanya bersandarkan kepada keputusan semester satu (S1) dan S2 sahaja.
"Difahamkan kebanyakan IPTA telah pun memanggil pelajar untuk temuduga berdasarkan keputusan semester satu dan dua namun bagaimana dengan pelajar STPM 2020 yang mendapat keputusan keseluruhan lebih baik dan ingin bertukar kursus setanding dengan keputusan keseluruhan mereka.
"Pekara ini telah banyak menimbulkan kebimbangan ibu bapa dan pelajar, jadi diharapkan pihak berkenaan dapat mempertimbangkan keputusan kemasukan ke IPTA," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Chee Kin yang juga Yang Dipertua Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah berkata, peperiksaan semester dua bagi pelajar STPM sangat mencabar kerana diadakan di awal peringkat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ogos tahun lalu ketika pelajar baharu menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian.
"Ada ramai pelajar yang telah mengulangi peperiksaan semester dua dan mendapat keputusan yang lebih baik.
"Sekali lagi kami dengan rendah hati meminta KPT dan pihak universiti menilai semula permohonan anak-anak kami berdasarkan keputusan STPM sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!