Gimnasium patuh syariah
Rockafella Gym & Studio memberi platform kepada wanita dan lelaki bersenam dengan cara paling selesa
SELAIN bersenam di rumah, apa kata sekali-sekala anda rajin-rajinkan diri pergi gimnasium.
Banyak manfaat sebenarnya sekiranya anda ke sana. Selain lebih banyak kemudahan, anda juga boleh menambah kenalan yang sentiasa mahu kelihatan cergas. Sudah pasti semangat hendak sihat makin berkobar-kobar.
Pada segmen Pilihan Editor minggu ini, Sihat:Aktif memperkenalkan pusat kecergasan Rockafella Gym & Studio bertempat di Taman Paragon Utama, Batu Caves, Selangor.
Ia juga mempunyai beberapa cawangan termasuk di Paragon Selayang dan Ampang.
Pemilik yang juga pengarah syarikat ini, Ubaidillah @ Nasri Ab Latif memberitahu, premisnya yang berkeluasan 9,000 kaki persegi dilengkapi lebih 100 unit peralatan yang diimport dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Bagi memberikan perkhidmatan terbaik, Ubaidillah berkata, pihaknya menempatkan empat jurulatih diketuai bekas atlet bina badan negara dan pemegang Sarjana Muda Sains Sukan.
“Mungkin jika ditanya apa keistimewaan pusat kecergasan di sini berbanding di luar sana, kami di sini berkonsepkan patuh syariah, selain memiliki peralatan dengan standard yang digunakan oleh para atlet,” katanya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.
Konsep patuh syariah yang diperkenalkan oleh Rockafella Gym & Studio menawarkan kelas senaman berasingan bagi lelaki dan wanita. Ia secara tidak langsung memberi keselesaan terutama kepada kaum wanita untuk melakukan senaman.
Berdasarkan rekod, gimnasium ini telah dibuka sejak 10 tahun lalu.
Bantu matlamat
Pusat kecergasan ini kata Ubaidillah, bukan sekadar perniagaan dan demi keuntungan semata-mata tetapi membantu orang ramai untuk mencapai matlamat masing-masing.
“Dengan pengalaman saya sendiri lebih 30 tahun dalam industri kecergasan, kami telah membantu ramai yang datang dengan pelbagai visi berbeza.
“Ada di antara mereka yang datang ke sini terdiri daripada pelajar sekolah, atlet, mereka mempunyai masalah kesihatan, pengamal gaya hidup sihat, golongan berhasrat mahu memperbaiki bentuk badan, suri rumah, remaja, ahli korporat dan pelbagai lagi,” katanya.
Ujar lelaki ini, lazimnya pihak mereka akan membantu pelanggan membuat pilihan yang sejajar dengan apa yang mereka sasarkan.
Menariknya lagi, pelanggan boleh memilih slot waktu mengikut kelapangan masing-masing.
“Kepada mereka di luar sana, jangan bertangguh untuk bersenam kerana kesihatan sesungguhnya merupakan nikmat yang lebih bernilai daripada daripada seluruh harta benda yang kita miliki,” katanya.
Selain mengendalikan pusat kecergasan, Rockafella Gym & Studio juga menawarkan khidmat sewaan peralatan kecergasan. -AG
ANEKDOT
Rockafella Gym & Studio
- Dibuka bermula pada pukul 8 pagi-12 tengah malam setiap hari.
- Mempunyai kemudahan seperti surau lelaki dan surau wanita secara berasingan.
- Terdapat bilik sauna, bilik persalinan, ruang aerobik, ruang seni bela diri termasuk ruang khas gimnasium untuk wanita.
- Gimnasium ini boleh menempatkan 100 pengunjung pada satu-satu masa.
- Menawarkan pakej pada harga berpatutan sekitar RM70 hingga RM130.
- Untuk keterangan lanjut, sila layari Facebook: Rockafella Gym
Tip-tip kecergasan daripada Rockafella Gym & Studio:
1) Mula merancang dengan mendapatkan khidmat nasihat pakar.
2) Susuli perancangan tersebut dengan matlamat yang realistik.
3) Mulakan tanpa menangguh.
4) Harungi cabaran tanpa berputus asa. Dengan semangat dan usaha, semua boleh dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!