Cadangan had jumlah ahli Parlimen bertentangan perlembagaan

FAIZ
FAIZ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan hanya 80 ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat bagi persidangan Parlimen pada 26 Julai ini adalah bertentangan dengan perlembagaan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keanggotaan Dewan Rakyat adalah sebanyak 222 orang ahli Parlimen.

Menurut beliau, menghadkan jumlah ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat adalah tidak berperlembagaan kerana peraturan itu menafikan hak dan tugas hakiki mereka, malah tiada peruntukan had ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Jika sekalipun wujud kebimbangan terhadap pandemik Covid-19, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tidak memberikan kuasa kepada Speaker untuk membuat peraturan sedemikian.

"Perlembagaan Persekutuan mengatasi dan peraturan menghadkan kehadiran ahli Parlimen adalah jelas salah dan tidak berperlembagaan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Faiz yang merupakan seorang peguam berkata, cadangan supaya ahli Parlimen pembangkang memboikot sidang Parlimen kali ini juga boleh mendatangkan risiko kepada ahli Parlimen terlibat.

Katanya, kerusi mereka boleh diisytiharkan kosong jika tidak hadir lebih tempoh enam bulan kecuali dengan kebenaran Dewan Rakyat. Perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan (secara verbatim): “Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan kerusinya kosong.”

Beliau berkata, implikasi peruntukan itu adalah jika ahli Parlimen memboikot sidang Parlimen, mereka dianggap tidak mendapat kebenaran bercuti untuk tidak hadir dan boleh kehilangan kerusi jika tidak hadir sekali lagi ke sidang Parlimen kerana memboikot atas alasan sama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, adalah tidak logik untuk memboikot sidang Parlimen kali ini atas alasan jumlah kehadiran dihadkan, tetapi tidak pula memboikotnya dalam sidang seterusnya jika peraturan sama berulang.

"Ia disebut ‘one cannot approbate and reprobate at the same time’. Maka, langkah terbaik adalah membawa isu ini ke mahkamah jika kerajaan PN bertegas mahu menghadkan jumlah kehadiran ahli Parlimen.

"Tindakan lemah kerajaan PN mencetuskan satu lagi krisis perlembagaan dan mahkamah adalah premis terbaik menyelesaikan isu berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!