Tertipu dengan otak sendiri
BILA hendak merehatkan fikiran, saya gemar mencari video-video TEDTalk di Youtube. TED adalah singkatan technology, entertainment and design. Ia adalah video pengucapan awam tidak melebihi 20 minit. Selain daripada inspirasi, saya juga memperoleh idea-idea daripada mereka yang berucap. Lazimnya sesi TEDTalk ini mengupas sesebuah isu dari sudut pandang yang berbeza dan unik.
Baru-baru ini saya mengikuti syarahan Melanie Robbins, seorang penulis dan motivator. Beliau pernah bertugas sebagai penyampai di CNN. Mel mempunyai pandangan yang menarik mengenai motivasi diri. Saya teruja kerana ucapannya tidaklah berapi-api seperti ucapan motivator Tony Robbins, Dean Graziosi mahupun Steve Sisler. Ia lah, kadangkala motivator yang bercakap penuh bersemangat itu menjadikan saya bingung kerana asyik hendak menangkap apa yang diperkatakan. Belum pun faham apa yang disebut, penyampai sudah beralih pada topik yang lain pula.
Kadangkala, rindu juga untuk menatap kembali buku-buku tulisan Napoleon Hill yang mengupas The Law of Success, Dale Carnegie dengan buku How to Win Friends and Influence People ataupun buku The Power of Positive Thinking karya Normal Vincent Peale. Bila membaca buku, kita boleh sahaja ‘mendengar suara penulis di minda’ dengan kadar kelajuan bacaan yang kita mahu. Kalau tak faham, boleh ulang dan ulang lagi.
Pertuturan Melanie Robbins pula berbeza. Jika kita pejam mata, kita akan berasa seolah-olah dia sedang membaca kerana intonasi suaranya yang jelas dan tenang. Mel menyentuh mengenai fungsi otak manusia. Katanya, otak manusia mempunyai tiga fungsi. Pertama, meregulasi segala fungsi tubuh badan selagi kita bernyawa. Kedua, apabila kita tidur, sebahagian daripada otak berfungsi mengemas kini segala maklumat yang kita peroleh atau gunakan pada siang hari agar tersimpan di memori. Ketiga, mengawal tubuh badan daripada segala ancaman dan kesakitan.
Saya pernah terbaca kajian sains mengenai fungsi otak manusia ini. Dan Mel menyentuh mengenai fungsi ketiga otak iaitu mengawal tubuh daripada segala ancaman dan kesakitan. Sel-sel neuron di otak kita menapis segala maklumat yang sampai ke fikiran kita melalui apa yang dinamakan sebagai reticular activating system (ARAS).
ARAS menjadikan kita awas dengan menyaring segala maklumat yang sampai ke fikiran. Saringan ini memilih maklumat-maklumat yang sesuai dengan kehendak kita. Katanya, sebab itulah kita masih siuman kerana ketiadaan saringan ini akan menjadikan kita menelan segala maklumat tanpa tapisan hingga kita boleh jadi gila. Bagaimana pun, maklumat yang sampai sebagai memori ini tidak dapat membezakan yang mana maklumat yang ada di dalam fikiran atau yang benar-benar terjadi.
Untuk mempermudah, kita boleh ambil visual pengeboman sebagai contoh. Oleh kerana pengeboman itu ialah visual yang menampakkan peluru yang bernyala menuju ke sasaran dan kemudiannya letupan berlaku apabila peluru itu menyentuh sasaran, otak kita tidak dapat membezakan mana yang betul, mana yang fiksyen.
Oleh kerana visual pengeboman di dalam filem fiksyen pun sama dengan apa yang benar-benar terjadi, kita boleh sahaja menonton klip pengeboman sebuah bandar di Palestin yang benar-benar berlaku sambil tersandar di sofa. Kita tidak rasa takut dan terkejut kerana imej pengeboman itu sama seperti dalam permainan video!
Itu jugalah yang terjadi kepada minda kita, misalnya apabila kita punyai su’u dzon terhadap pasangan kita yang lewat pulang. Prasangka buruk hanya bermain di minda. Gambaran pasangan kita yang kononnya melepak di luar rumah dengan kawan-kawan sebenarnya hanyalah imej yang tersimpan di dalam memori. Mungkin imej itu tersimpan dari sebuah filem drama.
Otak tidak dapat membezakan sama ada ia khayalan kita ataupun ia benar-benar berlaku. Imej watak suami yang jahat di dalam drama disisip dengan wajah suami yang juga tersimpan di dalam minda. Apabila suami pulang ke rumah, si isteri marah-marah kerana mindanya menghantar gambar si suami yang telah melakukan kejahatan di luar rumah!
Begitulah kuatnya minda manusia dalam memilih maklumat yang sesuai dengan kehendak seseorang. Kerana itu, kita kenalah peka dengan apa yang mata kita lihat dan yang telinga kita dengar. Maklumat yang bersimpang-siur menjelma di skrin komputer dan telefon bimbit boleh mengganggu gugat apa yang minda kita peroleh.
ARAS memang boleh menyaring sesebuah maklumat yang sampai ke fikiran. Namun jika kita sendiri tidak peka untuk menahan diri dari asyik menatap maklumat-maklumat yang tidak betul, akhirnya kita akan percaya apa yang tidak betul. Inilah yang terjadi pada hari ini.
Otak kita tidak dapat membezakan jika makanan diuar-uarkan sebagai ubat. Apabila makanan dikatakan ubat, maka kita tidak boleh terima seandainya ada yang mengatakan ia makanan. Apabila melahirkan zuriat itu dilihat sebagai sebuah proses semula jadi yang tidak boleh dijaga dengan pendekatan saintifik, maka ada di antara kita yang menolak khidmat perbidanan. Begitu juga apabila kita asyik berkata bumi itu leper, maka lama kelamaan ramai yang percaya bumi itu leper. Kita yang sebenarnya yang pakai otak, bukannya otak yang pakai kita!
* Penulis ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!