Tumbang lembu sado, agih daging untuk 600 asnaf

Mohd Faizul (dua dari kiri) dan isteri, Nor Baizura Ibrahim (kanan) menyerahkan daging korban kepada penerima di Masjid Mukim Paloh, Pasir Pekan, Tumpat pada Rabu.
Mohd Faizul (dua dari kiri) dan isteri, Nor Baizura Ibrahim (kanan) menyerahkan daging korban kepada penerima di Masjid Mukim Paloh, Pasir Pekan, Tumpat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Dua ekor lembu sado jenis limousine ditumbangkan oleh Beauty Kaseh sempena sambutan Aidiladha untuk diagihkan kepada 600 asnaf di sekitar kawasan Pasir Pekan, di sini pada Rabu.

Pengasasnya, Mohd Faizul Rohban Ahmad, 37, berkata, selain itu seekor lembu daripada baka tempatan turut 'ditumbangkan' menerusi Korban Kaseh 4.0 yang menelan belanja sebanyak RM30,000.

"Sebelum ini kami hanya mampu mengagihkan daging segar kepada 200 penerima menggunakan sistem kupon. Alhamdulillah untuk edisi 2021 kami berjaya menambah jumlah penerima kepada 600 orang.

"Saya akui serangan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai golongan asnaf terkesan. Jadi, kami terpanggil untuk menambah sedikit lagi peruntukan bagi memastikan lebih ramai yang dapat menikmati keenakan rasa daging segar ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Korban Kaseh 4.0 yang bertempat di Masjid Mukim Paloh, Pasir Pekan, di sini.

Menurutnya, agihan itu merupakan bentuk perkongsian rezeki dan tanda terima kasih kepada orang ramai yang menyokong produk keluaran Beauty Kaseh.

Katanya, program itu akan terus diperkasakan pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat menikmati sumbangan daging segar.

Mohd Faizul berkata, program kali ini mendapat sokongan penuh daripada Penghulu Mukim Paloh, Adnan Dollah yang menyediakan data penerima sumbangan.

"Kerjasama ini memudahkan lagi tugas kami dalam mengagihkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan secara lebih telus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faizul berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat memberikan kegembiraan kepada golongan yang memerlukan di musim pandemik ini.

Katanya, 2021 merupakan tahun keempat pihaknya mengagihkan sumbangan daging lembu segar kepada golongan asnaf di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!