Menara telekomunikasi selesaikan isu internet kampung orang asli

Khairul Shahril (tengah) memberikan daging kepada salah seorang penduduk yang membantu melaksanakan ibadah korban di Kampung Suak Padi, Seri Iskandar.
Khairul Shahril (tengah) memberikan daging kepada salah seorang penduduk yang membantu melaksanakan ibadah korban di Kampung Suak Padi, Seri Iskandar.
A
A
A

PARIT - Masalah capaian internet lemah melibatkan empat penempatan termasuk perkampungan orang asli di Seri Iskandar di sini dijangka dapat diatasi apabila sebuah menara telekomunikasi akan didirikan di kawasan tersebut.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, pembinaan menara itu dilaksanakan selepas menerima permintaan daripada tok batin dari Kampung Suak Padi, Kampung Gedung Batu, Kampung Tumboh Hangat.

Menurutnya, kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan Felcra Nasaruddin berhampiran.

"Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bersetuju memperuntukkan sebuah pencawang baharu bagi memenuhi kehendak di kawasan ini termasuk dua sekolah berhampiran.

"Saya menjangkakan masalah ini akan selesai selewat-lewatnya penghujung tahun ini berikutan SKMM telah mengenalpasti sebuah tapak yang bersesuaian untuk mendirikannya bagi memenuhi keperluan penduduk," katanya.

Beliau ditemui pada Program Ibadah Korban dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Perak Tengah di Surau Nurul Hidayah, Kampung Suak Padi di sini pada Rabu.

Khairul Shahril berkata, pembinaan kemudahan itu akan membantu anak-anak di kawasan tersebut mengikuti pembelajaran dalam talian dengan selesa.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Suak Padi, Uda Mat Alang berkata, capaian liputan yang lemah itu mula dirasai selepas negara melaksanakan pembelajaran dalam talian sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila talian lemah, anak-anak kami kadang-kadang perlu keluar untuk mencari liputan agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

"Kasihan apabila mereka terpaksa berpanas atau berhujan untuk mengikuti jadual kelas dan masalah ini saya utarakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika lawatannya ke kampung ini," katanya.

Pelajar kolej, Sharizatul Mazna Abdullah, 21, berkata, dia mengambil masa untuk mengadaptasi suasana pembelajaran dalam talian terutama di rumah.

"Disebabkan kampung agak jauh dari bandar, liputan internet amat lemah hinggakan kami terpaksa mencari kawasan-kawasan tertentu untuk dapatkan talian internet yang kuat.

"Kolej saya di Kajang, Selangor jadi agak susah nak faham dan terpaksa belajar melalui video," kata pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!