Usah meremehkan hubungan Pas-UMNO
SEJAK berlangsung Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis dan Cameron Highlands, hubungan dua parti Melayu-Islam terbesar di Malaysia, Pas dan UMNO dilihat kembali pulih sejak keluarnya Pas dari parti gabungan Barisan Nasional (BN) pada 1978.
Inilah hikmahnya kekalahan yang dihadapi BN pada 2018, salam perpaduan dan permuafakatan antara UMNO dan Pas kembali. Biarpun diperli dan disindir oleh Pakatan Harapan (PH) dengan pelbagai tuduhan, Pas nampaknya konsisten dalam tekad mereka merapatkan saf perjuangan bersama UMNO-BN dalam blok pembangkang di Parlimen Malaysia.
Untuk rekod, Pas sebenarnya lahir dari rusuk perjuangan UMNO. Pas bermula dengan kumpulan alim ulama yang menyertai UMNO dan menentang Malayan Union pada 1946. Pas hanya menjadi parti politik pada 1951, apabila ahli UMNO dari Pulau Pinang Haji Ahmad Fuad menubuhkan Parti Islam Se-Malaya. Satu permulaan yang memisahkan orang Melayu-Islam kepada dua ‘kiblat’ politik kepartian.
Sejak 1951, Pas sentiasa menjadi pesaing kepada UMNO dalam PRU dan juga dalam pelbagai konflik dan persengketaan politik di dalam negara yang tercetus akibat pertembungan dua parti orang Melayu itu.
Orang Melayu cukup sinonim di kota mahupun desa sama ada mereka menyokong UMNO atau Pas. Bahkan menjadi satu pengenalan imej dalam masyarakat dan keluarga jika mereka menjadi ‘orang Pas’ dan ‘orang UMNO’. Segalanya seolah-olah bersebati umpama sebatinya gelaran darah cap keris dan darah hijau. Namun peristiwa hitam 13 Mei 1969 membawa salam perpaduan antara Pas-UMNO apabila pada 1972, Tun Abdul Razak menjemput Datuk Asri Muda untuk menyertai Perikatan. Bahkan nama parti Barisan Nasional dicadangkan oleh Asri ketika Perikatan dalam proses untuk dijenamakan semula.
Namun pada 1978, konflik persefahaman kembali menjarak antara UMNO dengan Pas. Dari saat itu orang Melayu terpaksa sekali lagi menelan pahitnya bersengketa antara satu sama lain di pentas politik sehingga sedikit sebanyak merenggangkan apa yang sepatutnya tidak perlu dikeruhkan. Kini hubungan Pas dan UMNO kembali pulih. Apa yang dilakukan Pas untuk menerima persahabatan dan ukhuwah dengan UMNO adalah kerana faktor Islam dan takwa kepada ALLAH. Inilah kematangan Pas yang boleh dipuji. Perpaduan yang wujud ini bukan kerana untuk merebut kuasa, kerana kuasa dan wang ringgit sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah semangat dan cita-cita perjuangan yang sama antara kedua parti.
Orang Melayu tidak boleh lagi berprasangka buruk terhadap perpaduan Pas dan UMNO ini. Jika dulu benar mereka berpisah dan bertelagah kerana masing-masing mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam menegakkan agama, bangsa dan negara. Namun, kini keduanya juga berkongsi aspirasi dan cita-cita yang sama untuk agama, bangsa dan negara lantaran semakin tergugatnya asas-asas kenegaraan di Malaysia.
Jika Pas dan UMNO selepas tahun 1978 masing-masing belajar jauh di samudera, kini kedua parti itu telah bertemu di muara bagi menghadapi gelora politik dan agama yang semakin mencabar di Malaysia. Janganlah ada mana-mana pihak yang cuba untuk mengadu domba hubungan baik antara Pas dan UMNO ini.
Tiada siapa dapat menafikan bahawa kedua parti ini mempunyai kekuatan jentera akar umbi yang tersendiri. Malah UMNO dan Pas masih mempunyai kekuatan yang dicemburui oleh parti-parti dalam kerajaan.
Semoga dengan kerjasama politik yang berlangsung antara UMNO dan Pas di Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih ini akan dapat diteruskan sehingga gendang Pilihan Raya Umum ke-15. Pas dan UMNO adalah milik orang Melayu-Islam di Malaysia. Selagi bernafas, keduanya akan terus menjadi institusi politik utama bagi membela perjuangan agama, bangsa dan negara.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!