Tiga tugas penting untuk Parlimen
AKHIRNYA Dewan Rakyat akan bersidang semula pada Isnin depan selepas selang tujuh bulan sejak tertangguhnya Dewan Negara.
Apakah yang seharusnya berlaku di Dewan Rakyat selama lima hari dan di Dewan Negara selama tiga hari? Pada pandangan saya, Parlimen berhadapan dengan tiga tugas penting.
Pertama, ia harus menentukan sama ada proklamasi dan empat Ordinan Darurat untuk Darurat 2021 harus dibatalkan.
Perkara 150(3) menetapkan bahawa proklamasi dan Ordinan-ordinan Darurat mesti dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen sekiranya mereka dibuat semasa Parlimen tidak bersidang.
Ini untuk memastikan bahawa pembuatan undang-undang yang tidak mengikut lunas demokrasi semasa darurat akan sama ada diiktiraf atau dibatalkan oleh Parlimen.
Ahli-ahli Parlimen mesti diberikan peluang untuk mengundi untuk sama ada mengekalkan atau membatalkan Ordinan-ordinan malah proklamasi itu.
Ini bukan isu akademik. Perkara 150(7) sekiranya tidak dibatalkan, Ordinan-ordinan Darurat akan terus berkuasa untuk tempoh enam bulan selepas berakhirnya Darurat.
Ini bermakna kecuali untuk peruntukan-peruntukan yang secara khasnya berkuatkuasa hanya dalam Darurat, empat Ordinan Darurat 2021 akan berkuatkuasa sehingga 1 Februari 2022.
Paling penting ialah Ordinan Darurat No. 2 berkaitan berita tidak benar yang membawa hukuman tertinggi penjara 6 tahun dan denda RM 500,000 dan Ordinan Darurat No. 4 yang membenarkan kerajaan untuk menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin Covid-19.
Kalau kerajaan rasa kuasa ini harus dikekalkan, maka bentangkan rang undang-undang baru pada sidang September yang akan datang dan jangan panjangkan usia Ordinan-ordinan Darurat selepas 1 Ogos secara pintu belakang atau 'tebuk atap' dengan memperalatkan 1 Februari 2022.
Kedua, Parlimen mesti meluluskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sama ada secara menyeluruh atau mengikut bahagiannya.
Persidangan menjadi wayang kosong kalau perbahasan wakil rakyat tidak akan mengubah sebarang kesudahan.
Selepas persidangan, ahli-ahli Parlimen harus diberi kuasa untuk menyatakan sokongan atau bantahan.
Hanya dengan ahli Parlimen diberi kuasa menolak, barulah kerajaan dan menteri-menteri akan ada insentif untuk menerima cadangan-cadangan bernas yang diluahkan oleh wakil rakyat demi meraih sokongan mereka.
Apabila PPN yang ditambah baik diluluskan di Dewan Rakyat, usaha daya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan diangkat menjadi dasar seluruh rakyat Malaysia kerana suara mereka telah dipertimbangkan dan PPN akan lebih berjaya dalam perlaksanaannya.
Ketiga, Parlimen mesti memperbanyak dan memperkasakan jawatan-jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSSC) untuk menyemak dan mengimbang kementerian-kementerian dengan lebih baik.
Parlimen bersidang hanya dua bulan setahun dan ahli Parlimen tiada saluran formal untuk membawa suara rakyat dalam pembuatan dasar selama 10 bulan.
KetandusanBeginilah, 40 peratus daripada ahli Parlimen kita sekarang ketandusan peluang untuk menyumbang dan menyerlah.
Dengan jawatankuasa-jawatankuasa, ahli Parlimen boleh menyumbangkan idea dan pengetahuan mereka serta melatih diri mereka menjadi menteri satu hari nanti.
Kita perlukan lebih banyak PSSC dan PSSC mesti dibenarkan bermesyuarat di atas talian supaya dapat bersidang dengan kerapnya.
Peraturan-peraturan mesyuarat yang dilahirkan sebelum kemunculan perisian Zoom mesti dikemaskinikan.
Semoga kepimpinan kerajaan dan Parlimen kita berani mendengari suara rakyat dan tidak membisukannya.
Dalam kamus banyak perkataan
Dalam muzium banyak spesimen
Tanpa rakyat siapalah kerajaan
Tanpa undi apa guna Parlimen
*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!