Soul Fitness for Teens platform curahan hati remaja

Murid SK Titi Gajah sertai Soul Fitness for Teens.
Murid SK Titi Gajah sertai Soul Fitness for Teens.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 200 remaja menyertai program ‘Soul Fitness for Teens Siri 1: Tuhan Sayang Kita’ sebagai platform curahan hati yang pertama kali diadakan secara dalam talian bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 17 Julai lalu.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas melalui TickTalkTV menyasarkan golongan berusia 10 hingga 18 tahun.

Ia merupakan aktiviti di bawah Soul Fitness Clinic dan Talian Jiwa @ Astro Oasis berpandukan al-Quran dan hadis.

Perunding Motivasi Aura Imtiyaz, Nur Hanisah Mohd Nor Afandi sebagai tetamu jemputan pada program tersebut berkata, remaja yang sedang membesar dan masih bersekolah mudah terkesan dari segi emosi akibat ‘terkurung’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Kebanyakan remaja berkongsi masalah rasa bosan dan tidak dapat berjumpa kawan, sehingga menimbulkan rasa tekanan dan gelisah,” katanya pada program tersebut yang dikendalikan oleh pengacara TickTalk TV, Muhammad Halim Zainuddin sebagai moderator dan qari.

Nur Hanisah yang juga pakar remaja (psikologi remaja dan al-Quran) berkata, tujuan Soul Fitness for Teens untuk membina kerangka fikir yang positif kepada anak remaja dengan berteraskan terapi al-Quran dan sunnah.

“Di sini, kita membantu mereka untuk mengenali status emosi masing-masing dan cara menguruskannya agar lebih tenang. Ibu bapa diharapkan dapat memberi sokongan dan cakna kepada anak remaja mereka melalui komunikasi berkesan seperti berbincang.

“Alhamdulillah, di penghujung program Siri 1 ini kebanyakan peserta memberi maklum balas positif dan mahu mengurus tekanan dengan betul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, rata-rata peserta berminat untuk sertai aktiviti selanjutnya dalam bentuk kumpulan lebih kecil iaitu coaching atau sesi luahan dan solusi secara percuma.

“Terima kasih atas sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang menyarankan semua sekolah sertai Soul Fitness for Teens.

“Kita harap pihak sekolah dan jabatan pendidikan lain turut menggalakkan pelajar untuk sertai siri kedua pada waktu dan hari yang sama pada 7 Ogos ini. Di samping itu, mana-mana pihak ingin menjayakan program tersebut melalui dana, ia adalah dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Kota Setar, Kedah, Marlyana Mohamad berkata, seramai 12 murid beliau menyertai Soul Fitness for Teen secara dalam talian.

“Pada pandangan saya, program tersebut sangat baik dalam memenuhi masa murid terutama ketika musim cuti seminggu ini. Ia menjadi platform murid untuk meluahkan perasaan dalam tempoh PKP.

“Mungkin ada kalangan mereka yang tertekan ketika mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Mereka kini semakin jelas cara untuk meluah perasaan dan menggunakan panduan cara urus tekanan,” jelas Marlyana.

Golongan remaja dialu-alukan menyertai Soul Fitness fo Teens dengan mendaftar di https://bit.ly/SoulFitnessForTeens dan boleh sertai Telegram Soul Fitness for Teens. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook https://www.facebook.com/BySoulFitness.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!