Suasana pilu di transit terakhir jenazah pesakit Covid-19

Petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 melakukan solat jenazah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru (HSA). - Foto Bernama
Petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 melakukan solat jenazah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru (HSA). - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah 'transit terakhir' mangsa Covid-19 menyimpan pelbagai kisah duka, namun bagi petugas kesihatan dan khas, apa yang mereka lakukan lebih berkisar kepada amanah serta tanggungjawab.

Berbeza dengan pengurusan jenazah biasa, pengurusan jenazah atau mayat korban Covid-19, perlu dilaksanakan petugas dengan teliti dan disegerakan pengebumian bagi yang beragama Islam ataupun diuruskan mengikut kepercayaan agama masing-masing bagi bukan yang beragama islam.

Menurut Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Forensik HSA, Mohd Afiq Ngah, meskipun setiap hari ada kes kematian akibat Covid-19, jenazah pesakit perlu diuruskan segera, selain untuk mengelakkan risiko penularan virus berkenaan.

Sebaik menerima tugasan yang diamanahkan, beliau yang juga Ketua Penyelia di Jabatan berkenaan dan kesemua petugas lain perlu segera mempersiapkan diri termasuk dari segi fizikal dan mental kerana risiko terdedah dengan virus yang boleh membawa maut itu.

"Secara teori semakin lama terdedah (exposure) kepada punca jangkitan bermakna semakin tinggi kemungkinan untuk dijangkiti, oleh itu apabila cepat kita urus, semakin kurang tempoh pendedahan.

"Keduanya, kita mempunyai tempat penyimpanan mayat yang terhad di jabatan ini dan pada masa sama perlu menyediakan ruang untuk kes kematian yang akan datang," katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Perubatan Forensik, HSA di sini baru-baru ini.

Meskipun tiada kajian kukuh yang membuktikan perkara berkenaan, namun semua petugas perlu mematuhi tatacara pengendalian jenazah pesakit Covid-19 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Sanitasi dilakukan ke atas jenazah Covid-19 dan petugas-petugas khas sebelum dan selepas melakukan pengurusan ke atas jenazah. - Foto Bernama
Sanitasi dilakukan ke atas jenazah Covid-19 dan petugas-petugas khas sebelum dan selepas melakukan pengurusan ke atas jenazah. - Foto Bernama

“Isu keberjangkitan dan kelangsungan hidup virus Covid-19 di dalam tubuh badan yang tak bernyawa masih menjadi isu debatan di peringkat antarabangsa yang mana masih tiada kata putus mengenai kebolehberjangkitan dan kelangsungan hidup virus Covid-19 di dalam tubuh badan yang tak bernyawa.

"Sebaliknya, yang ada hanyalah berkenaan tempoh jangka lama mana virus bertahan pada permukaan-permukaan tertentu. Justeru itu, kita harus menganggap virus itu ada, masih menular dan kita kena utamakan nyawa serta keselamatan petugas barisan hadapan," katanya.

Mesti ikut peraturan

Bagaimanapun, Mohd Afiq, 31, yang bertugas di jabatan itu sejak Januari 2021, bersyukur kerana sepanjang tempoh pasukan itu memikul amanah menguruskan jenazah pesakit Covid-19, setakat ini belum ada lagi dalam kalangan mereka dijangkiti.

Ini kerana setiap kakitangan, apabila selesai menguruskan jenazah positif Covid-19, mereka akan membersihkan diri terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah dan menukar semua pakaian agar "tidak membawa pulang" virus kepada keluarga terdekat.

"Walaupun kami (telah) divaksin, (kerisauan ada) mungkin kami (ada) tersilap sentuh sesuatu permukaan di mana-mana. Jadi rasa risau tetap ada kerana dalam kalangan kami, ada ahli keluarga yang belum lagi divaksin, " katanya.

Bagi mengelakkan jangkitan Covid-19, semua kakitangan yang mengendalikan mayat perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Beliau bagaimanapun berkata, meskipun PPE dapat mengurangkan risiko jangkitan, namun ia tidak menghapuskan sama sekali risiko berkenaan sekiranya langkah pencegahan tidak diambil berat terutamanya semasa prosedur pemakaian dan pembukaan PPE serta tatacara pembuangan PPE yang telah digunakan tidak dilakukan dengan betul.

PPE, jelasnya, memberi perlindungan dengan membantu mencegah mikroorganisma daripada mencemarkan tangan, mata, rambut termasuk penyebaran kepada kakitangan lain.

"PPE tidak boleh dikongsi dengan orang lain dan yang paling penting, PPE perlu diasingkan sebagai sisa klinikal setelah dipakai apabila selesai menguruskan jenazah," katanya dengan menambah proses dekontaminasi atau disinfeksi peralatan seperti troli mayat turut dilakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Bilik bedah simpan mayat

Disebabkan peningkatan kematian akibat Covid-19 secara mendadak, bilik bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik HSA pernah digunakan untuk penyimpanan sementara jenazah atau mayat pesakit biasa disebabkan kekangan ruang.

Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi apabila KKM menyediakan kontena khas yang mampu menampung 20 jenazah pada satu-satu masa sejak Oktober 2020.

Menurut Mohd Afiq, peti simpanan mayat sedia ada, dikhususkan untuk jenazah yang boleh diuruskan segera termasuk cepat dituntut waris dan pesakit penyakit berjangkit, manakala dua ruang tambahan iaitu kontena khas dan peti sejuk mudah alih (mobile fridge) dikhaskan untuk jenazah pesakit biasa, penyakit tidak berjangkit 'clean body'.

Beliau menambah, dua ruang tambahan itu menempatkan banyak jenazah warga asing 'clean body' yang tidak dapat dihantar balik ke negara asal kerana banyak prosedur yang perlu diuruskan.

Petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 sedang mengkafankan jenazah Covid-19. - Foto Bernama
Petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 sedang mengkafankan jenazah Covid-19. - Foto Bernama

"Jenazah warga asing akan memakan masa agak lama iaitu hampir seminggu sehingga tiga bulan sebelum dapat dikebumikan atau dihantar ke negara asal mereka, jadi kita boleh kosongkan peti simpanan mayat sedia ada untuk kes Covid-19 dan kes-kes kematian yang biasa untuk diuruskan oleh jabatan ini," katanya.

Beliau menambah, HSA setakat ini mempunyai kemudahan untuk menampung 46 jenazah pada satu-satu masa iaitu 17 di ruang peti sejuk sedia ada, 20 di dalam kontena khas dan sembilan di peti sejuk mudah alih.

Pengecaman mayat waris menyayat hati

Paling menyayat hati bagi petugas di Jabatan Perubatan Forensik apabila tiba proses pengecaman mayat oleh waris kerana mereka tidak dibenarkan menyentuh atau mendekati jenazah selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

"Kami tidak beri penetapan berapa lama untuk waris buat tatapan terakhir pada jenazah, bagaimanapun ia bergantung kepada budi bicara kami tetapi sebolehnya secepat yang mungkin mengikut jarak yang telah ditetapkan iaitu antara satu dan dua meter sahaja daripada jenazah," katanya.

Menurut Mohd Afiq, bagi waris yang sedang menjalani proses kuarantin wajib, proses pengecaman mayat hanya boleh dilakukan menerusi panggilan video.

"Untuk panggilan video ini, lazimnya kita akan membuka penutup beg 'cadaver' atau 'body bag' untuk waris membuat pengecaman dan selalunya keadaan inilah yang agak menyedihkan kerana kami boleh dengar suara tangisan ahli keluarga," katanya.

Justeru, beliau berkata, masyarakat perlu sedar dan ambil peduli bahawa pandemik Covid-19 bukanlah perkara yang dibuat-buat.

Proses 'tayammum' dilakukan pada jenazah Covid-19 beragama Islam oleh petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 ketika tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru (HSA) baru-baru ini. - Foto Bernama
Proses 'tayammum' dilakukan pada jenazah Covid-19 beragama Islam oleh petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 ketika tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru (HSA) baru-baru ini. - Foto Bernama

"Orang ramai perlu sedar bahawa apa yang lebih penting dilakukan pada tahap ini ialah menjaga diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak Covid-19 berkenaan, " katanya.

Urus mayat dalam tempoh kurang tiga bulan

Selain mangsa Covid-19, secara amnya jabatan itu berjaya mengendalikan jenazah atau mayat pesakit dari wad hospital berkenaan dan yang dibawa pihak polis iaitu kes ‘brought in dead’ dalam tempoh kurang daripada tiga bulan sejak Januari sehingga kini.

"Di jabatan ini, urusan pengendalian jenazah memang cepat. Setakat ini tidak ada lagi yang melebihi tiga bulan. Yang hampir tiga bulan pun kebiasaannya melibatkan warga asing kerana kita nak cari waris melalui kedutaan, ataupun ia melibatkan kes polis tetapi bukan mayat pesakit positif Covid-19.

"Untuk warga tempatan pula biasanya paling lama dalam tempoh hampir dua bulan. Namun bagi kes penyakit berjangkit kita akan mengendalikannya dengan cepat bagi mengelakkan risiko penularan virus," tambahnya.

Bila ditanya mengenai prosedur menguruskan jenazah tidak dituntut oleh waris atau ahli keluarga pula, Mohd Afiq berkata pengendalian mayat tidak dituntut adalah penting bagi mengoptimumkan tempat penyimpanan mayat yang terhad.

Menurut beliau, jenazah tidak diketahui identiti atau 'unknown' yang diterima dari hospital atau dibawa polis akan didaftarkan di dalam Buku Daftar Kematian, dan sekiranya jenazah tidak dituntut selepas tiga hari dari tempoh masa penerimaan mayat, ia diklasifikasikan sebagai jenazah tidak dituntut.

"Bagi jenazah tidak dituntut, kita akan buka satu fail untuknya yang mana ia memerlukan kerjasama pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengenal pasti waris supaya jenazah boleh dituntut, begitu juga bagi jenazah yang tidak mempunyai pengenalan diri, paling cepat pengurusan (jenazah tidak dituntut) mengambil masa sehingga 14 hari.

Mohd Afiq (kanan) dan Penolong Pegawai Perubatan, Mohd Zaquan Md Salleh memeriksa keadaan kontena khas yang digunakan untuk menyimpan jenazah pesakit biasa, penyakit tidak berjangkit 'clean body' di Jabatan Perubatan Forensik HSA. - Foto Bernama
Mohd Afiq (kanan) dan Penolong Pegawai Perubatan, Mohd Zaquan Md Salleh memeriksa keadaan kontena khas yang digunakan untuk menyimpan jenazah pesakit biasa, penyakit tidak berjangkit 'clean body' di Jabatan Perubatan Forensik HSA. - Foto Bernama

"Setiap jenazah tidak dituntut akan diambil sampel untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), jadi sekiranya ada waris yang hadir menuntut mayat pada masa akan datang, kita akan buat identifikasi DNA terhadap waris untuk memastikan sama atau tidak keputusan DNA yang dilakukan," katanya.

Tiada insan yang mahu dijangkiti Covid-19

Situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih sangat serius berikutan kapasiti hospital di seluruh negara seperti yang dilaporkan terutama bagi unit rawatan rapi (ICU) yang menampung kes Covid-19 kini berada pada tahap kritikal dan terus meningkat.

Menurut Mohd Afiq, meskipun kadar kematian menurun di sini dengan kadar 78 peratus setakat 6 Julai yang lepas berbanding jumlah kematian pada bulan Jun, namun setiap individu perlu memainkan peranan untuk memastikan penurunan kes jangkitan.

Beliau berkata, tiada insan yang mahu dijangkiti dan jalan terbaik adalah masyarakat perlu bertindak bijak mendisiplinkan diri, berhati-hati selain mengamalkan pemakaian pelitup muka, kerap membasuh tangan, mengamalkan penjarakan sosial serta mengelakkan berkumpul terutama di tempat awam dan sempit.

"Covid-19 adalah sesuatu yang benar, kematian Covid-19 adalah benar dan ianya terjadi setiap hari dengan purata kes kematian harian bagi Covid-19 adakalanya lebih daripada tujuh bilangannya. Apabila kerajaan saran ambil vaksin, ambillah. Kita mahu mencapai imuniti kelompok.

"Paling meruntun jiwa dan menyedihkan apabila bagi pengurusan jenazah, kebiasaannya para waris dibenarkan untuk mendekati jenazah, tetapi apabila seseorang yang meninggal dunia akibat Covid-19, tiada keluarga terdekat dapat mendekati untuk memberi penghormatan dan tatapan terakhir buat si mati," katanya. - Bernama

Dua waris dibenarkan melihat dan mengambil gambar atau video buat kali terakhir jenazah Covid-19. - Foto Bernama
Dua waris dibenarkan melihat dan mengambil gambar atau video buat kali terakhir jenazah Covid-19. - Foto Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!