Pemandu maut pacuan empat roda terbalik
PEKAN - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Simpang Chini di sini awal pagi Khamis.
Dalam nahas kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Shaiful Nizam Ismail, 36, tercampak keluar dari kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai pemandu jentera berat dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Keratong, Muadzam Shah ke tempat kerja di Kertih, Terengganu.
Menurut beliau, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero Sport terlanggar lintasan air di atas jalan akibat paip pecah.
"Ekoran itu, kenderaan mangsa hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas sebelum terbalik ke kanan jalan.
"Mangsa tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!