Maritim rampas syabu disorok dalam tong minyak
JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira empat kilogram (kg) di perairan Pulau Merambong pada awal pagi Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, rampasan dibuat ketika bot ronda Maritim sedang melaksanakan rondaan Op Jaksa di perairan Tanjung Pelepas.
Menurut beliau, dalam rondaan itu pihaknya telah mengesan sebuah bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika barat daya Pulau Merambong sekitar jam 3 pagi.
"Sebaik sahaja menyedari bot ronda Maritim Malaysia, suspek bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek dan melarikan diri ke arah paya bakau berhampiran.
"Bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan suspek itu menggunakan enjin sangkut jenama 15 kuasa kuda.
"Hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu yang disorok dalam sebuah tong minyak dengan setiap satu bungkusan itu dianggarkan seberat satu kilogram," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Nurul Hizam berkata, bot kayu berserta enjin telah telah ditunda ke Jeti Maritim Sungai Pulai.
"Empat bungkusan dadah itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM215,000," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.
Katanya, masyarakat terutamanya komuniti maritim diseru untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memerangi jenayah maritim, penyeludupan dadah serta penyeludupan pendatang asing.
"Sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian hotline 07- 219 9404 yang beroperasi atau talian kecemasan MERS 999," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!