Solat Aidiladha: Pengerusi kariah Taman Pelangi diminta beri penjelasan

Tangkap layar video tular di Facebook pada Selasa menunjukkan warga asing menunaikan solat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri Taman Pelangi, Juru.
Tangkap layar video tular di Facebook pada Selasa menunjukkan warga asing menunaikan solat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri Taman Pelangi, Juru.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengerusi kariah Taman Pelangi dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) diminta untuk memberi penjelasan lanjut berhubung kejadian warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri di Taman Pelangi, Juru, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, setelah meneliti kronologi kes, pihaknya mendapati pihak kariah telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Setelah diteliti, pihak kariah mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan iaitu hanya 100 orang jemaah yang terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha pada pagi Selasa lalu.

"Pengerusi kariah juga didapati telah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan iaitu pada malam raya dan sebelum solat. Selain itu, pengerusi kariah juga telah menekankan bahawa warga asing tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis P Pinang mohon maaf gagal kesan ratusan jemaah solat Aidiladha luar surau

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, walaupun diberi penekanan, dilaporkan sejumlah warga asing itu masih berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau untuk turut sama mengikuti solat Aidiladha yang sedang berlangsung.

"Ia jelas di luar kawalan pihak kariah kerana pihak jawatankuasa kariah telah pun mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum solat dimulakan," katanya.

Katanya, insiden itu diharapkan menjadi peringatan kepada semua khususnya pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak perlu terus mengambil serius dalam mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan bersama.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan susulan penguatkuasaan undang-undang dengan pantas mengenal pasti dan menahan individu-individu yang sewenang-wenangnya melanggar SOP ini.

"Ini bertepatan dengan tindakan tegas kerajaan di dalam menangani ketidakpatuhan SOP dalam usaha memerangi Covid-19 yang makin mengganas," katanya.

Dalam pada itu, Zakiyuddin berkata, pihaknya juga menerima ketidakpuasan orang ramai yang disampaikan kepadanya berhubung gambar tahanan warga asing yang dibawa tanpa memakai kasut dan digari.

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin

"Adalah diharapkan pihak polis boleh melaksanakan sedikit budi bicara di dalam hal ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 49 individu solat sunat Aidiladha direman

Selasa lalu, tular di media sosial rakaman video orang awam yang memaparkan warga asing sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri di Taman Pelangi, Juru di sini kira-kira jam 8.30 pagi.

Mereka bertindak demikian selepas surau di taman berkenaan sudah mencapai kapasiti jemaah dibenarkan untuk solat Aidiladha iaitu seramai 100 orang seperti ditetapkan menerusi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Susulan itu, polis kemudiannya mengesan kira-kira 200 individu terlibat yang majoritinya warga asing dengan sebahagiannya ditahan kelmarin.

Pada Rabu, seramai 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan direman masing-masing antara empat dan tiga hari bagi siasatan lanjut.

Perintah reman ke atas warga asing berusia 20 hingga 43 tahun itu bermula semalam sehingga Sabtu ini manakala suspek warga tempatan berusia 64 tahun direman sehingga Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!