IPOH - Sebuah pusat urut yang menawarkan khidmat seks diserbu Jabatan Imigresen Perak dalam operasi bersepadu di Jalan Dato Tahwil Azhar, Ahad lalu. Pemeriksaan bermula jam 3.40 petang itu mendapati, pusat yang beroperasi dari jam 11 pagi hingga 2 pagi itu menawarkan urutan dan khidmat seks dengan bayaran antara RM188 untuk 45 minit hingga RM208 untuk tempoh satu jam. Pengarah Imigresen Negeri, Kamalludin Ismail berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya menahan 10 wanita masing-masing warga Thailand dan Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pusat. "Seramai 22 individu telah diperiksa, namun hanya 17 ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya. Menurutnya, turut ditahan tiga pekerja lelaki warga Bangladesh dan Myanmar serta empat lelaki warga tempatan dengan seorang daripada mereka merupakan pemilik premis. "Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 49 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan atas kesalahan melindungi warga asing tanpa pas yang sah, " katanya. Katanya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 51(5)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan semua tahanan akan diserah ke Depot Imigresen Langkap.