Industri komunikasi, multimedia kekal mampan dalam cabaran pandemik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

INDUSTRI komunikasi dan multimedia (C&M) kekal mampan dalam persekitaran cabaran pandemik Covid-19 berikutan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan, transaksi, pembelian dalam talian selain aktiviti belajar dan bekerja dari rumah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Laporan Prestasi Industri (IPR) 2020 berkata, industri tersebut menyumbang 7.9 peratus atau RM142.96 bilion daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia berjumlah RM1.81 trilion bilion pada tahun lepas.

“Namun begitu, permodalan pasaran industri C&M susut sebanyak 0.7 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya akibat pandemik Covid-19.

“Tahun 2020 merupakan tempoh mencabar bagi industri C&M berikutan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan persekitaran pasaran terkesan oleh ‘disruption’ (gangguan) terhadap permintaan serta kemunculan beberapa trend baharu,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis.

SKMM berkata, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dilancarkan pada Ogos 2020 bagi menambah baik infrastruktur digital dan kesalinghubungan negara telah berjaya mengurangkan kesan akibat pandemik terhadap sektor tersebut.

Menurutnya, pada tahun lepas, permodalan pasaran sektor telekomunikasi telah meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada RM134.42 bilion.

Bagi tempoh sama, sektor pos dan kurier mencatat pertumbuhan ketara dengan peningkatan permodalan pasaran sebanyak 19.9 peratus kepada RM3.25 bilion.

“Sebaliknya, sektor penyiaran terus berdepan tekanan berikutan sikap pengiklan yang lebih berhati-hati sepanjang tempoh pandemik serta pembatalan beberapa acara sukan besar seperti Olimpik Tokyo dan Liga Europa UEFA.

Artikel Berkaitan:

“Saingan pemain Over the Top (OTT) turut memberi kesan terhadap sektor ini. Faktor-faktor ini menyumbang kepada kemerosotan permodalan pasaran sebanyak 27.4 peratus kepada RM5.29 bilion pada tahun lepas,” katanya.

Langganan segmen TV berbayar (Pay TV) bagaimanapun meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada 7.34 juta langganan daripada 7.12 juta langganan pada 2019 susulan peningkatan langganan khidmat Internet Protocol Television (IPTV).

Laporan penuh IPR 2020 boleh didapati di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/MCMC-IPR_2020.pdf. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!