[DIKEMASKINI] Berpesta di balai: Ketua balai positif ganja ditahan kerja

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Azri Ahmad)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Azri Ahmad)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ketua balai polis berpangkat Sub-Inspektor yang ditangkap dalam serbuan di sebuah balai di daerah Kajang disahkan positif dadah jenis ganja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pegawai berkenaan ditahan kerja mulai hari ini.

“Pegawai itu turut direman selama dua hari bagi membantu siasatan manakala tujuh yang lain dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, keputusan itu diperoleh selepas ke semua lapan individu yang ditahan menjalani ujian saringan air kencing.

Azri berkata, siasatan akan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang terhadap kesalahan penggunaan dadah dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) manakala pihak JIPS menjalankan siasatan selari dengan tatatertib.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ketua balai berpangkat Sub-Inspektor dan tiga anggota lain itu turut ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sehingga siasatan ke atas mereka selesai dijalankan.

"Arahan pertukaran serta-merta itu dibuat selepas mereka dikesan melakukan kesalahan berdasarkan serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, petang Selasa lalu.

"Polis Selangor sudah mengarahkan seorang anggota berpangkat Sub-Inspektor untuk mengambil alih tugas sebagai ketua polis balai, balai polis berkenaan bagi membolehkan segala urusan harian membabitkan masyarakat di kawasan berkenaan berjalan lancar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arjunaidi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan membabitkan pegawai dan anggota yang terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah dan salah laku disiplin.

Dalam serbuan pada jam 6 petang Selasa lalu, ketua balai berkenaan dan tiga anggota polis berpangkat Koperal dan Koperal Sokongan, serta empat wanita orang awam ditahan dalam sebuah bilik khas di tingkat dua balai polis berkenaan.

Ketika serbuan terhadap balai berkenaan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] 3 anggota, seorang pegawai ditahan 'berpesta' dalam balai polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!