Pesakit tidur atas lantai, tidak patuhi piawaian hospital
SHAH ALAM - Situasi pesakit tidur di lantai, ada yang berada di bawah khemah yang panas dan tidak selesa mendedahkan bahawa pihak pengurusan hospital tidak mematuhi piawaian yang sepatutnya menjadi amalan di hospital di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, amalan seperti itu perlu dihentikan segera.
Katanya, kerajaan pusat perlu campur tangan dalam isu tersebut disebabkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak lagi berupaya untuk memimpin dan rakyat telah hilang keyakinan terhadapnya.
"Saya merujuk kepada video Hospital Serdang. Sudah lebih 24 jam video ini viral di media sosial. Sampai hari ini masih tiada ada seorang daripada (pemimpin) kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu menjawab dan memberi solusi mengenai isu ini.
"Pemandangan dalam video ini seolah-olahnya ia berlaku di negara dunia ketiga, hakikatnya, ia berlaku ketika negara di bawah pentadbiran kerajaan PN. Bayangkan, rakyat perlu melalui situasi seburuk ini yang tidak pernah berlaku sejak merdeka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat juga tidak mahu tunggu dan lihat seperti yang berlaku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang sebelum ini, hanya selepas Perdana Menteri turun padang barulah katil tambahan disediakan di hospital itu.
"Ini bukan cara yang betul dan profesional. Negara kita sedang berperang dengan virus Covid-19. Kerajaan perlu beri tumpuan, sokongan kepada barisan hadapan dan memberi segala fasiliti kepada mereka supaya kita akan menang dalam pertarungan ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan dan meminta agar kerajaan pusat melantik Menteri Kesihatan yang baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!