Dua jam pujuk wanita turun dari pokok
LIPIS - Anggota bomba mengambil masa dua jam untuk memujuk seorang wanita yang dipercayai mengalami gangguan mental untuk turun daripada pokok dalam kejadian di Kampung Keledek di sini pada Rabu malam.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.16 malam.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
"Sebaik tiba di tempat kejadian seorang wanita didapati berada di atas sebatang pokok. Bagaimanapun anggota terlibat berjaya memujuk wanita terbabit dengan mengajaknya turun untuk minum dan bersembang bersama mereka.
"Mereka (bomba) mengambil masa kira-kira dua jam untuk memujuk dan menyelamatkan wanita terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Shahrul Nizam berkata, wanita terbabit kemudiannya diserahkan kepada keluarganya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya sejurus selepas itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!