Pemulih: 26,000 permohonan tangguh bayaran pinjaman PTPTN diluluskan
CHANGLUN - Lebih 26,000 permohonan penangguhan bayaran pinjaman pendidikan telah diluluskan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) setakat Khamis.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian moratorium bersasar kepada peminjamnya selama tiga bulan tersebut diharapkan dapat meringankan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, jumlah tersebut dijangka bertambah memandangkan permohonan untuk menangguhkan pembayaran masih diterima sehingga Khamis.
"Setakat ini kita meluluskan lebih 26,000 permohonan dan kita masih lagi menerima permohonan itu. Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dan juga PTPTN kepada mereka yang terkesan semasa tempoh pandemik ini.
"Mereka yang terjejas kita akan bantu dan memberikan kelonggaran namun, kami juga menghargai peminjam-peminjam yang terus sukarela membuat pembayaran balik walaupun moratorium diberikan pada tahun lalu.
"Kita memuji golongan ini kerana tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kerana moratorium ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar terkesan," katanya pada sidang akhbar selepas Program Ibadah Korban Pengerusi PTPTN di Parlimen Kubang Pasu pada Khamis.
Hadir sama Exco Kerajaan Negeri Kedah, Halimaton Shaadiah Saad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, PTPTN juga menyeru mana-mana peminjam yang terkesan ataupun tidak mampu membayar balik selepas tempoh moratorium boleh memaklumkan kepada pihaknya untuk tindakan susulan.
"Walaupun tanpa kemudahan moratorium, kita sentiasa fleksibel, yang penting maklumkan kepada kita agar dapat berbincang kembali untuk menstrukturkan semula pembayaran," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, Pelan Strategik PTPTN yang dirangka sebelum ini bagi memastikan perbadanan tersebut terus relevan akan dilancarkan pada hujung Julai selepas tertangguh dua bulan akibat Covid-19.
Menurutnya, terdapat beberapa teras yang telah digariskan sebagai pelan utama dan akan diumumkan selepas pelancarannya.
"Melalui Pelan Strategik PTPTN ini, kita bagi penekanan kepada teknologi terkini untuk memastikan bahawa kita sentiasa dapat kemas kini situasi semasa peminjam.
"Kita juga mahu memastikan bahawa mereka yang memerlukan pinjaman dapat diberikan pinjaman, kita juga mahu mempermudahkan dari segi saluran-saluran bayaran balik termasuk mengembalikan semula imej PTPTN sebagai tabung pendidikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!