Pembekal punca bekalan vaksin lewat dihantar ke Sabah

Hajiji (tengah) beramah mesra dengan salah seorang penerima vaksin di PPV IPT UMS, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di UMS Kota Kinabalu pada Khamis.
Hajiji (tengah) beramah mesra dengan salah seorang penerima vaksin di PPV IPT UMS, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di UMS Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kelewatan bekalan vaksin Covid-19 ke Sabah berpunca daripada pembekal yang lambat tiba ke negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagaimanapun berkata, kerajaan akan mula menghantar vaksin ke Sabah mulai minggu ini.

"Memang ada sedikit kelewatan tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjadualkan semula penghantaran vaksin ke negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Insititut Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, pada Khamis.

Beliau turut berharap kerajaan Persekutuan dan KKM akan membekalkan jumlah vaksin yang lebih banyak ke negeri ini bagi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk akan menerima vaksin menjelang bulan Oktober ini.

"Kita memang mahu mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin dan berharap kerajaan dapat berbuat demikian.

"Justeru, kita berharap kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin ke negeri ini dengan lebih banyak kerana Sabah antara yang terendah dan kita tidak menerima banyak (bekalan vaksin) daripada kerajaan," katanya.

Sementara itu, mengulas lawatannya ke PPV itu, Hajiji berkata, usaha diambil UMS membantu memberi vaksin kepada 13,729 orang setakat ini turut membantu kerajaan negeri untuk terus meningkatkan jumlah penerima vaksin di negeri ini sekali gus mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

"Saya dimaklumkan bahawa mulai minggu depan, kapasiti pemberian vaksin oleh PPV UMS adalah sebanyak 3,000 dos sehari berbanding hanya 1,000 dos sehari pada masa sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga sudah pasti akan membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok apabila 2.7 juta penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Hajiji dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada UMS kerana menyediakan PPV untuk kakitangan dan pelajar universiti serta awam menerima vaksin.

Hadir sama ialah Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!