Pemuda kampung Tebakang 'gila' memancing

Raja Mohd Sayuti menunjukkan hasil tangkapan diperoleh menerusi teknik casting ikan toman menggunakan gewang.
Raja Mohd Sayuti menunjukkan hasil tangkapan diperoleh menerusi teknik casting ikan toman menggunakan gewang.
A
A
A

MARANG - Memburu ikan liar di tasik atau sungai sememangnya tidak mudah namun bagi mereka yang ‘gila’ mengail di lokasi berkenaan ia sememangnya mencabar dan menyeronokkan.

Malah cabaran berhadapan dengan binatang buas dan serangga berbisa juga tidak mampu menghalang niat golongan berkenaan untuk bertarung dengan pelbagai spesies ikan yang diidamkan.

Bagi golongan muda di Tebakang yang boleh dikatakan hampir semuanya berkongsi minat memancing, cabaran itu umpama ‘makanan harian’ yang perlu dihadapi demi mencapai apa yang diinginkan.

Malah sekumpulan pemuda turut menubuhkan sebuah kumpulan dikenali sebagai Tebakang Anglers diambil sempena nama kampung kelahiran mereka yang terletak dalam kawasan Bukit Payong itu.

Salah seorang dari mereka, Raja Mohd Sayuti Raja Mamat, 24, berkata, mereka sanggup keluar awal pagi dan pulang lewat malam memburu ikan liar di sungai dan tasik di dalam dan luar daerah ini.

Menceritakan detik awal pembabitannya dengan hobi itu, Raja Mohd Sayuti berkata, segala-galanya bermula ketika dia berusia belasan tahun lagi dan serius 'memegang joran' pada usia 19 tahun.

“Pada mulanya saya hanya mengikut ahli keluarga dan rakan pergi memancing. Pengalaman itu merupakan detik awal sehingga saya mula berasa ‘gian’ melakukan aktiviti itu,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, bermula daripada detik itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya menjadikan memancing sebagai aktiviti yang serius malah sanggup mengeluarkan modal agak besar.

Menurutnya, dia mengeluarkan modal ribuan ringgit untuk menyediakan kelengkapan memancing sepanjang tempoh lima tahun lepas bagi melengkapkan dirinya sebagai seorang pemancing tegar.

Artikel Berkaitan:


“Saya mengeluarkan modal sekitar RM5,000 untuk menyediakan peralatan itu namun jumlah itu dikeluarkan secara berperingkat bermula sejak saya mula serius dengan aktiviti ini lima tahun lepas.

“Yang penting saya berasa puas kerana dapat memenuhi masa terluang dengan minat saya namun aktiviti ini tidaklah dilakukan sehingga ia memudaratkan diri saya, kerana ia hanya sebagai hobi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!