5,000 penggiat pelancongan di pulau Terengganu akan divaksin

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seramai 5,000 pemain industri pelancongan di pulau-pulau utama di Terengganu akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sebagai persediaan menyambut kehadiran pelancong apabila sektor pelancongan dibenarkan beroperasi kelak.

Menurutnya, program pemberian vaksin melibatkan penggiat pelancongan di pulau sudah dimulakan di Pulau Kapas, Marang pada minggu lepas dan diteruskan di Tasik Kenyir, Pulau Redang di Kuala Nerus, Pulau Perhentian di Besut dan Pulau Tenggol di Dungun.

"Kita jangkakan banyak vaksin akan diterima pada bulan Julai, insya-ALLAH cukup untuk vaksinasi. Jumlahnya tidak lebih 5,000 orang (pemain industri pelancongan) jadi sempat kita buat hingga hujung bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, di sini pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris.

Pada program itu, 300 penggiat pelancongan terdiri daripada pengusaha dan krew rumah bot, bot laju, rumah rakit, rumah kedai di Tasik Kenyir serta 200 penduduk setempat menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Ariffin berkata, pemberian vaksin merupakan usaha kerajaan negeri dalam memastikan Tasik Kenyir dan pulau peranginan lain di negeri ini mencapai status imuniti kelompok sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong untuk melancong dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan semua mereka yang terlibat dengan industri pelancongan divaksin dengan segera kerana sebaik saja sektor ini kembali dibuka, ia dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!