Projek kereta nasional ketiga bukan nak buat kereta canggih
SHAH ALAM - Projek kereta nasional ketiga tidak akan menghasilkan kereta yang canggih dan tidak bersesuaian dengan pasaran tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sebaliknya penghasilannya difokuskan kepada permintaan pengguna dan berteraskan kenderaan pelbagai guna atau extended range vehicles (ERV).
"Kita tak terlalu bercita-cita tinggi dengan mengatakan nak buat satu kereta yang canggih. Memang kepakaran yang ada di negara ini kita boleh buat 'fully autonomous car' (kereta tanpa pemandu).
"Tetapi adakah rakyat atau pengguna bersedia untuk membelinya? Jadi kita tengok apa permintaan pasaran dan kita lebih kepada ERV yang boleh diolah menggunakan hibrid, elektrik dan sebagainya," katanya kepada media di program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terbang pertama Malaysia, ini kata menteri
Selain itu, katanya, projek kereta nasional juga bertujuan untuk membangunkan kepakaran dalam negara.
"Kita nak menjadi negara pengeluar bukannya negara pengguna, itu teras kita menjadi sebuah negara membangun," katanya.
Ditanya perkembangan projek tersebut ketika ini, Mohd Redzuan berkata, kerajaan sedang memperhalusi teknologi yang akan digunakan.
"Ada banyak cadangan tapi kita sedang senarai pendek platform dan teknologi mana hendak digunakan. Ia akan memakan sedikit masa sebab ramai minat dan ia bukan keputusan yang mudah.
"Kita kena bawa kepada Majlis Pembangunan Negara untuk memastikan teknologi yang kita pakai nanti lestari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!