Penduduk buntu isu 'serangan' lalat tak berkesudahan
BATU GAJAH - Penduduk Taman Chenderong Jaya, di sini buntu mencari jalan penyelesaian terhadap masalah serangan lalat yang dihadapi sejak setahun lalu walaupun pelbagai aduan telah dibuat.
Penduduk, Mior Mazhar Mohd Aris, 40, berkata, mereka sudah tidak tahan berdepan masalah yang berlaku setiap beberapa bulan hingga menjejaskan kehidupan bersama keluarga.
Menurutnya, masalah berlanjutan itu dipercayai daripada aktiviti penternakan ayam yang terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi itu.
"Lalat akan menyerang lebih dua minggu sebelum hilang dan akan kembali lagi. Setiap kali menyerang kami tidak boleh lakukan apa-apa aktiviti langsung.
"Itu belum lagi bila memasak, kalau menggoreng ikan belum pun sempat nak menggoreng, lalat sudah masuk dulu. Terpaksa kami buang sebab kotor," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Menurut Mior Mazhar, dia terpaksa membawa isteri bersama anak keempat mereka berusia dua bulan untuk berpantang di rumah ibunya di daerah ini.
"Isteri pun rimas untuk berpantang dan tidak boleh tinggal anak sebab sekejap sahaja dihurung lalat. Masalah ini tidak hanya berlaku pada waktu siang tetapi juga pada malam.
"Ini menyebabkan kami hendak tidur, makan, bersantai dengan anak-anak pun tidak boleh. Kalau boleh kami mahu pindah tetapi apa boleh buat sudah beli rumah ini tahun lalu,” katanya.
Pesara, Saiful Kamal Sulaiman, 48, berkata, pelbagai cara dilakukan untuk menghalau lalat namun tidak berkesan.
Katanya, masalah itu pernah mendapat liputan media namun ia tidak diselesaikan hingga kini.
"Kami sudah cuba menggunakan air serai wangi, lada hitam kisar yang ditabur atas meja tapi masalah ini tidak berkurang.
"Sehari kami menggunakan lebih 20 pelekat lalat hinggakan stok pelekat pun sudah habis di kedai," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada Rabu minggu lalu dan punca utama dikesan adalah aktiviti penternakan ayam.
"Sisa daripada tumpahan makanan, air cucian kandang dan pengendalian tinja ayam menyebabkan patogen membiak dan seterusnya menarik lalat untuk bertelur.
"Penerokaan tanah secara tidak sah bagi menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan menjadi 'harbourage' untuk membawa lalat dewasa ke kawasan kediaman terhampir," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, MDBG dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mendapati terdapat empat ladang ayam beroperasi di kawasan tersebut dan tindakan kompaun ada
dikeluarkan terhadap pemiliknya pada Oktober 2020.
"Bagaimanapun, MDBG telah melaksanakan kaedah kawalan lalat dan 'thermal fogging' pada Jumaat lalu dan hari ini.
"Sehingga kini, tiada sebarang aduan berulang yang diterima daripada penduduk taman berkenaan," katanya.
Mohamad Razif berkata, pihaknya merancang untuk melaksanakan pelan tindakan yang komprehensif bersama JPV bagi menyelesaikan isu itu sepenuhnya.
"Selain itu, pemantauan secara konsisten bagi kerja-kerja pembersihan secara rutin di ladang ayam dilakukan dan penggunaan racun insecticides untuk membunuh larva atau telur lalat oleh pemilik ladang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!